JASIN – Seorang kontraktor panel Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) yang dilaporkan hilang di Empangan Jus, Batang Melaka sejak Sabtu lalu ditemui lemas pagi tadi selepas empat hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Melaka, Mohd. Zaidi Ma’at berkata, mayat mangsa yang berusia 27 tahun ditemui pada pukul 8.25 pagi tadi dalam keadaan lengkap berpakaian.
“Pada hari pertama, pencarian dilakukan menggunakan kaedah pemetaan di dasar dan teknik Arch Pattern oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), namun tiada petunjuk ditemui. Operasi hari kedua dan ketiga diteruskan bersama polis, Badan Kawal Selia Air dan SAMB, namun mangsa masih gagal dikesan.
“Pada hari keempat, operasi diteruskan dengan tumpuan pencarian di permukaan air dan mangsa akhirnya ditemui terapung di kawasan empangan kira-kira 900 meter dari lokasi barangan peribadi miliknya dijumpai sebelum ini,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 2.57 petang tadi dengan penglibatan keseluruhan seramai 44 pegawai dan anggota JBPM Melaka.
Ujarnya, mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan proses pengecaman oleh ahli keluarga.
Mengulas lanjut Mohd. Zaidi berkata, operasi SAR bermula selepas pihak JBPM menerima panggilan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin pada pukul 12.24 tengah malam, 25 Oktober lalu berhubung laporan kehilangan mangsa yang dikhuatiri lemas di empangan berkenaan.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin Bestari digerakkan ke lokasi dan menubuhkan Pos Kawalan Bomba (PKB) bagi penyelarasan tindakan di lapangan.
“Pemeriksaan awal menemukan barangan peribadi dipercayai milik mangsa di tepi jambatan, susulan itu, PPDA dari BBP Melaka Tengah dan BBP Masjid Tanah turut dikerahkan untuk menjalankan pencarian di dalam air,” katanya.
Katanya lagi, difahamkan mangsa sedang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan sebelum tergelincir dan terjatuh di dalam empangan berkenaan.-KOSMO! ONLINE.

2 hours ago
1



![[VIDEO] Didakwa disamun, remaja OKU sujud tanda terima kasih](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/WhatsApp-Image-2025-10-27-at-7.42.32-PM.jpeg)




![[VIDEO] ASEAN ke-47: ‘Happy Birthday Presiden Brazil’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/WhatsApp-Image-2025-10-27-at-5.13.23-PM.jpeg)








































