PETALING JAYA – Hengyuan Refining Company Berhad (Hengyuan) mengumumkan bahawa pihaknya telah menerima penerimaan sah dan permohonan lebihan bagi sejumlah 368,639,833 saham hak, sehingga tarikh tutup terbitan hak syarikat pada 17 Oktober 2025.
Jumlah itu mewakili 122.88 peratus daripada keseluruhan jumlah saham hak yang ditawarkan, pada harga terbitan RM0.78 sesaham, syarikat berjaya mengumpul hasil kasar RM234 juta.
Pada Julai 2025, Hengyuan mengumumkan cadangan terbitan hak boleh pindah milik
sebanyak sehingga 300 juta saham biasa baharu bersama sehingga 150 juta waran boleh
lucut percuma, berdasarkan satu saham hak bagi setiap satu saham Hengyuan sedia ada yang dipegang, dan satu waran bagi setiap dua saham hak yang dilanggan, pada harga dan tarikh kelayakan yang diumumkan kemudian, bagi mengumpul sekurang- kurangnya RM155 juta.
Ketua Pegawai Kewangan Hengyuan, Yeo Bee Hwan berkata, pihaknya berpuas hati dengan keputusan terbitan hak ini dan menghargai sokongan yang diberikan oleh pemegang saham sedia ada serta pelabur baharu yang turut menyertainya.
“Keputusan ini membuktikan keyakinan berterusan mereka terhadap asas kukuh Hengyuan dan prospek masa depan kami.
“Sebahagian besar hasil yang diperoleh akan digunakan untuk pembelian tambahan bahan mentah minyak mentah, iaitu bahan asas utama bagi proses penapisan dan pengeluaran produk petroleum.
“Tahap bekalan bahan mentah yang kukuh dijangka meningkatkan kecekapan pengeluaran, mengurangkan kos seunit setiap tong, serta memperkukuh daya
saing keseluruhan syarikat,” katanya dalam kenyataan.
Bee Hwan menjelaskan, dengan kejayaan pelaksanaan terbitan hak ini, syarikat telah menambah modal kerja, mengukuhkan asas ekuiti dan mempertingkatkan kedudukan kewangan syarikat.
“Kami akan terus komited untuk memberikan nilai terbaik kepada semua pemegang saham,” katanya dalam kenyataan.
Pemegang saham utama Hengyuan, Malaysia Hengyuan International Limited (MHIL) yang memiliki 51.02 peratus pegangan saham terbitan syarikat, telah melanggan keseluruhan bahagian haknya dan saham hak lebihan.
Langkah ini membolehkan Hengyuan mencapai sasaran kutipan minimum RM155 juta.
Syarikat menjangkakan saham hak dan waran akan disenaraikan serta mula diniagakan di
Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities pada 30 Oktober 2025. -KOSMO! ONLINE