BANGKOK – Lebih 600 orang melarikan diri dari pusat penipuan paling terkenal di Myanmar dan menyeberang ke Thailand, kata seorang pegawai wilayah Thai kepada AFP hari ini selepas tentera menyerbu kompleks itu.
“677 orang melarikan diri dari pusat penipuan KK Park di Myanmar dan menyeberang Sungai Moei ke Thailand,” kata Timbalan Gabenor wilayah Tak, Sawanit Suriyakul Na Ayutthaya.
Kompleks-kompleks besar di mana penipu internet (scammer) menyasarkan orang ramai dengan melakukan penipuan cinta dan perniagaan haram lain, berkembang pesat di sempadan Myanmar.
Pusat-pusat penipuan itu berkembang semasa kawasan sempadan kurang kawalan akibat perang saudara yang dicetuskan oleh rampasan kuasa junta Myanmar pada 2021.
Tindakan keras Naypyidaw yang diumumkan secara meluas bermula pada Februari lalu menyaksikan sekitar 7,000 pekerja pusat-pusat penipuan dihantar pulang dan Thailand pula membantu dengan melaksanakan sekatan internet rentas sempadan.
Bagaimanapun, siasatan AFP pada bulan ini mendapati pembinaan premis-premis sedemikian terus berkembang manakala alat untuk menerima perkhidmatan internet Starlink dipasang secara besar-besaran, menghubungkan hab penipuan tersebut ke rangkaian satelit milik Elon Musk.
“Polis imigresen dan pasukan tentera telah bekerjasama untuk memberikan bantuan di bawah prosedur kemanusiaan dan mereka yang ditahan akan menjalani saringan,” kata Sawanit.
Menurutnya, proses itu membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti sama ada individu terbabit adalah mangsa pemerdagangan manusia dan jika tidak, mereka mungkin didakwa kerana melintasi sempadan secara haram.
Walaupun sebilangan scammer jelas dipaksa bekerja dalam kompleks dikawal ketat itu, pakar-pakar jenayah berkata, sesetengah mereka secara sukarela menyertai aktiviti haram itu dengan harapan mengaut keuntungan lumayan.
Pejabat Pentadbiran Wilayah Tak yang menyelia kawasan itu menyatakan bahawa kumpulan yang masuk dari Myanmar itu terdiri daripada ‘warganegara asing’ merangkumi lelaki dan wanita, manakala pihak berkuasa menjangkakan lebih ramai lagi akan menyeberang ke Thailand. – AFP