Teluk Akuan masih tercemar selepas 5 tahun

19 hours ago 5

LUMUT – Pencemaran Teluk Akuan di Pantai Remis dekat Lumut dipercayai akibat aktiviti kuari biarpun ia telah dihentikan pada 2021 masih belum pulih ekoran kegagalan pihak pemaju menjalankan kerja-kerja mitigasi dengan sempurna.

Setiausaha Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Noor Ismady Ahmad Radzuan berkata, pihaknya menerima aduan daripada komuniti setempat seperti nelayan mengenai pencemaran di Teluk Akuan berhampiran Teluk Mengkudu tersebut.

Katanya, mengikut rekod, pada Januari 2021, pernah berlaku kejadian alur air Teluk Akuan Kiri tergugat dan pantai dicemari tanah merah akibat kegiatan manusia di kawasan berhampiran iaitu Lot 2744 yang dikelilingi kompartment Hutan Simpanan Kekal (HSK) Segari Melintang berhampiran Teluk Mengkudu.

“Tindakan telah diambil tindakan oleh pihak berkuasa ketika itu, namun pihak pemaju yang tidak bertanggungjawab seolah-olah tidak menghiraukan syarat dikenakan oleh pihak berkuasa sebelum ini.

“Dalam tinjauan hari ini (semalam), alur air Teluk Akuan Kiri didapati masih dipenuhi sedimen iaitu campuran tanah merah dan batu-batuan pasir) yang melimpah dari Lot 2744,” katanya di Lumut hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Teluk Akuan didapati turut tercemar akibat daripada aktiviti kuari yang dijalankan di HSK Segari Melintang.

Noor Ismady berkata, mereka juga mendapati aliran air terjun Teluk Akuan Kanan juga tergugat dan diselaputi sedimen tanah merah di beberapa laluan air sehingga mencemarkan pantai dan laut di Teluk Akuan.

“Selain itu, melalui rakaman dron pihak kami mendapati terdapat sisa-sisa kayu pokok yang ditinggalkan dan kemungkinan melanggari beberapa syarat ditetapkan seperti mengambil jalan pintas.

“Ia berpunca daripada kegiatan manusia dipercayai aktiviti pembalakan atau pembukaan tanah untuk tujuan kuari di Lot 12946 iaitu bekas kompartmen 19, 20 dan 21 HSK Segari Melintang,” katanya.

Noor Ismady berkata, terdapat juga sisa-sisa kayu dan sedimen yang jatuh ke tebing pantai terus ke laut dan ia menjadi kebimbangan terutamanya apabila musim hujan berlaku kerana kesannya akan lebih teruk.

“Tambahan pula, kawasan aduan pencemaran ini jarang dikunjungi atau dipantau oleh pihak berkuasa, maka pemaju mudah untuk mengambil jalan pintas bagi mengaut keuntungan tanpa mengendahkan syarat.

“Pihak berwajib harus mengambil tindakan lebih tegas kepada pelaku atau pesalah yang sebelum ini telah diarahkan memberhentikan kerja sehingga pemakluman oleh pihak jabatan berkaitan. Juga dicadangkan agar ditarik balik kelulusan Impak Alam Sekitar dan lesen pemaju atau pemilik serta-merta,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |