Tarif baharu Trump, AS terima amaran 3 negara

3 days ago 7

BEIJING – China menyatakan hari ini bahawa ia bertegas untuk menentang tarif baharu yang dikenakan ke atas Beijing oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, serta berikrar untuk mengambil tindak balas setara bagi melindungi hak dan kepentingan negara itu.

Trump semalam mengumumkan tarif atau cukai import yang meluas ke atas China, Kanada dan Mexico, dengan memetik ancaman daripada pendatang haram serta dadah.

Tarif 25 peratus dikenakan ke atas import dari Mexico dan Kanada, manakala barangan buatan  China terpaksa membayar duti sebanyak 10 peratus jika dijual di AS.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Perdagangan China berkata, Beijing akan memfailkan tuntutan mahkamah di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), dengan alasan bahawa pelaksanaan tarif unilateral oleh AS secara serius melanggar peraturan WTO.

“Tindakan itu bukan sahaja tidak membantu dalam menyelesaikan masalah AS sendiri, malah menjejaskan kerjasama ekonomi dan perdagangan biasa,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau berkata, Ottawa akan bertindak balas terhadap tarif AS dengan mengenakan kembali 25 peratus levi ke atas barangan terpilih Amerika.

“Kami akan bertindak balas terhadap tindakan perdagangan AS dengan tarif 25 peratus ke atas barangan Amerika bernilai CAD$155 bilion (RM475 bilion),” katanya sambil memberi amaran tentang keretakan dalam hubungan Kanada-AS yang telah lama terjalin.

Tambahnya, tarif itu akan dikenakan kepada barangan harian seperti bir Amerika dan wain, buah-buahan, sayur-sayuran, peralatan pengguna, kayu dan plastik serta banyak lagi.

Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum turut menolak tuduhan pentadbiran Trump kelmarin bahawa kerajaannya mempunyai pakatan dengan kartel dadah, serta berikrar untuk bertindak balas terhadap tarif itu.

Sheinbaum berkata, beliau telah memberitahu menteri ekonominya untuk melaksanakan pelan B yang telah diusahakan, termasuk langkah tarif dan bukan tarif untuk mempertahankan kepentingan Mexico. – AFP

Read Entire Article
Pertanian | | | |