KUALA LUMPUR – Juara dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei meneruskan rentak cemerlang mereka apabila berjaya menempah slot ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Denmark 2025 selepas menewaskan gandingan profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie sebentar tadi.
Dalam aksi suku akhir di Jyske Bank Arena, Odense, pasangan ranking keempat dunia itu mengawal perlawanan sepenuhnya untuk menundukkan beregu nombor 9 dunia itu menerusi kemenangan straight set, 21-17, 21-11 dalam masa 38 minit.
Pada set pertama, Tang Jie-Ee Wei bijak memanfaatkan kesilapan lawan untuk mendahului dan menamatkan set itu dalam masa 18 minit.
Memasuki set kedua, Soon Huat-Shevon cuba bangkit dan sempat mendahului permainan, namun kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Tang Jie-Ee Wei kembali menemui rentak sebelum menutup aksi dengan kemenangan 21-11 dalam masa 20 minit.
Kemenangan itu turut melanjutkan rekod pertemuan mereka kepada 5-3, dengan empat kemenangan berturut-turut ke atas pasangan profesional negara itu.
Dengan kemenangan tersebut, Tang Jie-Ee Wei perlu melakukan persiapan lebih baik apabila menanti mereka selepas antara sama ada beregu No.1 dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin atau wakil tuan rumah, Mathias Christiansen-Alexandra Boje bagi perebutan tempat ke final.
Sementara itu, harapan untuk melihat beregu lelaki profesional negara, Nur Mohd. Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong mencipta kejutan sekali lagi tidak kesampaian apabila mereka terpaksa akur kehebatan gandingan ranking No.4 dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang.
Gandingan negara itu, yang sebelum ini melakar kejutan menyingkirkan pasangan No.1 dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae, tidak berupaya mengekalkan momentum itu sejurus tewas straight set 19-21, 18-21 dalam tempoh 38 minit.
Biarpun tersingkir, pujian wajar diberikan kepada Azriyn-Wee Kiong yang mempamerkan semangat juang tinggi dan aksi bertenaga sepanjang kempen mereka di Denmark. – KOSMO! ONLINE