Talian telco terputus sejam, jalan jadi sesat, makanan tidak boleh bayar

7 hours ago 4

PETALING JAYA – Gangguan rangkaian melibatkan pengguna Maxis menjadi tumpuan pengguna media sosial apabila ramai mendakwa terputus perkhidmatan melebihi satu jam, hari ini.

Tinjauan Kosmo! mendapati, gangguan rangkaian itu menjejaskan urusan harian pengguna, termasuk komunikasi dan perkhidmatan atas talian.

Rata-rata pengguna turut membanjiri ruangan komen pada akaun rasmi Maxis di Facebook bagi memaklumkan gangguan yang dialami.

Beberapa pengguna mendakwa gangguan tersebut menyebabkan mereka sesat kerana aplikasi peta atas talian secara tiba-tiba tidak berfungsi selain tidak dapat membuat pesanan makanan.

Seorang pengguna turut meluahkan rasa kecewa apabila perkara tersebut berlaku secara tiba-tiba dan tiada sebarang notis awal.

“Tidak pernah seteruk ini. Terpaksa minta WiFi dan hot spot orang lain, tetapi tidak dapat juga sebab ramai guna rangkaian yang sama. Sudahlah tidak memberi apa-apa notis dari awal,” kata Rachel Cy Tan.

Sementara itu, pengguna lain, Shareen turut mendakwa pusat Maxis turut dipenuhi pelanggan yang mengalami masalah sama.

“Ingatkan saya mengalami masalah kad SIM, rupanya satu Malaysia mengalami gangguan sama. Saya orang ke 50 tanya benda yang sama. Katanya mengalami masalah pelayan (server problem). Jadi ada pengguna yang kena, ada yang tidak,” katanya.

“Saya cuba buat laporan di WhatsApp pun turut mengalami ralat. Betul-betul satu bencana,” komen Hakim Ali.

Dalam pada itu, pihak Maxis menerusi ruangan komen memaklumkan sedang membuat semakan lanjut berhubung aduan yang diterima.

“Izinkan kami membuat semakan lanjut berkenaan isu anda. Sila ke https://tinyurl.com/2b2pzyzz dan berikan maklumat lengkap anda untuk semakan lanjut. Terima kasih,” katanya.

Bagaimanapun, setakat ini masih tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak Maxis berhubung gangguan berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |