KUALA LUMPUR – Seorang pegawai polis berpangkat inspektor yang dipercayai terlibat dalam kes langgar lari anggota trafik Jumaat lalu, akhirnya berjaya diberkas selepas aksi mengejar dari Jalan Cheras hingga ke Jalan Empat, Chan Sow Lin, semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, suspek dikesan kira-kira pukul 3.45 petang oleh anggota Unit Kawalan Lalu Lintas Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur hasil semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).
Menurut beliau, cubaan menahan kenderaan itu bagaimanapun gagal apabila suspek bertindak meloloskan diri secara berbahaya, termasuk melanggar beberapa kenderaan lain sepanjang laluan tersebut.
“Sepanjang operasi, polis trafik terpaksa membuka laluan bagi mengelakkan kemalangan lebih serius serta mengurangkan risiko kepada pengguna jalan raya lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadil berkata, semakan lanjut mendapati suspek sedang menjalani cuti perubatan khas dan dalam proses dibersarakan atas syor Lembaga Perubatan.
“Suspek iaitu seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun berjaya ditahan dengan bantuan Unit Kereta Peronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras dan Brickfields di Jalan Empat, Chan Sow Lin.
“Suspek disahkan mempunyai masalah kesihatan mental skizofrenia dan sedang menerima rawatan. Suspek akan menjalani ujian saringan air kencing bagi melengkapkan siasatan,” ujarnya.
Pada 10 April lalu, mangsa, Konstabel Roslan Salleh, 27, dilanggar dari arah belakang oleh sebuah Perodua Axia ketika sedang mengawal lalu lintas di kawasan Jalan Sultan Yahya Petra menghala ke Pusat Latihan Polis.
Dalam Kejadian kira-kira pukul 10.47 malam itu, mangsa mengalami kecederaan di tapak tangan kanan, belakang kepala serta bahagian rusuk sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan.
Menurut Fadil, setakat ini tujuh kenderaan telah tampil membuat laporan polis membabitkan lima kereta awam, sebuah MPV polis dan sebuah motosikal awam milik pegawai polis.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Razif Jamaluddin di talian 019-4482852 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di 03-2026 0267 atau 0269.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana memandu secara melulu dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

8 hours ago
7

![[VIDEO] Treler kemalangan, balik kerja ‘tersangkut’ sesak 5km di Lebuh Raya Elite](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/llm.jpeg)













































