KUALA LUMPUR – Sanggup melakukan pengubahsuaian motosikal sehingga mencecah RM10,000, semata-mata bagi tujuan perlumbaan haram.
Demikian kegiatan penunggang motosikal atau samseng jalanan yang dikesan menerusi operasi khas oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) di Lebuh Raya Duta–Ulu Kelang (Duke), kelmarin.
Operasi bermula pukul 3 hingga 5 pagi itu dijalankan melalui Unit Falcon susulan aduan berterusan daripada orang awam.
Pengarah JPJ WPKL, Hamidi Adam berkata, kawasan sekitar Batu Muda, Greenwood dan Sri Gombak dikenal pasti sebagai lokasi panas aktiviti lumba haram, khususnya pada hujung minggu.
Menurut Hamidi, antara aduan lain yang diterima termasuk kegiatan berkumpul secara besar-besaran, penggunaan lebuh raya sebagai litar perlumbaan, aksi kelajuan secara berbahaya serta bunyi bising melampau.
Lebih membimbangkan, katanya, kegiatan itu turut melibatkan remaja seawal usia 13 hingga 14 tahun, dengan kebanyakan ibu bapa didapati tidak menyedari penglibatan anak-anak mereka.
“Pelbagai kesalahan serius dikesan antaranya tiada cermin sisi, tiada atau tidak mempamerkan nombor pendaftaran, penggunaan nombor ‘fancy’ atau nombor pendaftaran milik kenderaan lain, ubah suai ekzos ekstrem, tiada brek belakang serta ketiadaan nombor enjin.
“Malah, terdapat individu yang bertindak agresif dan cuba melarikan diri daripada tindakan penguatkuasaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hamidi berkata, sepanjang operasi tersebut, seramai 80 individu diperiksa dengan 283 saman dikeluarkan, manakala 26 buah motosikal disita.
Tegasnya, pihak JPJ tidak akan berkompromi dan akan terus mempergiat operasi membanteras aktiviti lumba haram yang bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
“Kami juga menyeru ibu bapa agar memantau pergerakan anak-anak supaya tidak terlibat dalam aktiviti tidak sihat ini,” katanya.
Tambahnya, semua tindakan penguatkuasaan diambil di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

8 hours ago
6


![[VIDEO] Treler kemalangan, balik kerja ‘tersangkut’ sesak 5km di Lebuh Raya Elite](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/llm.jpeg)












































