Majlis dihadiri Azam Baki dikawal Skuad Taktikal Khas, PDRM

4 hours ago 4

BANGI – Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Ke-12 di Bangi Avenue Convention Centre di sini, yang dihadiri oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berlangsung dengan kawalan keselamatan rapi.

Majlis berkenaan yang bermula pukul 8.30 pagi dikawal oleh Skuad Taktikal Khas (ACTS) SPRM dengan kehadiran Polis Bantuan serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tinjauan Kosmo! mendapati, mereka dilihat berlegar-legar di dalam dan luar dewan dalam memastikan keselamatan sepanjang majlis berkenaan.
Petugas media yang hadir membuat liputan juga perlu mendaftar terlebih dahulu serta diberi pas khas dan dipakai pada leher sepanjang membuat liputan tersebut.

Bagi jurufoto dan jurukamera yang mahu mengambil gambar dan merakam liputan majlis, mereka tidak dibenarkan untuk berada berdekatan pentas, tetapi hanya boleh berbuat demikian dari di tempat dihadkan pihak penganjur.

Majlis konvokesyen tersebut berlangsung dari pukul 8.30 pagi hingga tengah hari tadi dan ia berlangsung dengan lancar.

Dalam masa sama, tiada temu bual atau sidang media bersama Azam seperti yang kebiasaannya diadakan pada majlis konvokesyen tahun sebelum ini.

Sementara itu, kawalan keselamatan rapi dan ketat pada majlis tersebut dipercayai susulan insiden kekecohan semasa di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) baru-baru ini.

Terdahulu Kosmo! pada 7 April lalu melaporkan, suasana tenang pada Wacana Ilmiah Perdana di Dewan Tun Dr. Ismail, WTCKL bertukar kecoh apabila sekumpulan individu melakukan protes secara tiba-tiba.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 petang itu, dua lelaki dilihat mengangkat kertas mahjong yang tertera tulisan ‘Tangkap Azam Baki’ dan ‘Azam Baki Simbol Reformati’ ketika ucaptama sedang berlangsung. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |