Tak sensitif, ada yang DM Zara Zya ‘hai perempuan kanser’

3 hours ago 4

PETALING JAYA – Pelakon Zara Zya mendedahkan sering menerima mesej daripada segelintir individu yang menjadikan penyakit kanser ginjal dihidapinya sebagai satu bahan gurauan.

Zara atau Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 40, berkata, dia mengakui perkara tersebut membuatkan hatinya terkilan namun tetap perlu dihadapi.

“Ada je yang direct mesej (DM) cakap ‘hai perempuan kanser’, ‘best ke ada kanser, lepas ni masuk hospital pula’.

“Bila jadi sebegitu, saya terus ‘block’ walaupun jauh dalam diri, rasa kecil hati tetapi nak buat macam mana.

“Saya kena lalui hidup dengan sebaik mungkin sebab saya seorang selebriti dan ada yang mengidolakan saya dan perlu tunjuk kuat,” katanya dalam sebuah video TikTok.

Ujarnya, dia kini dalam usaha untuk tidak terlalu memikirkan mengenai kesihatan diri sebaliknya perlahan-lahan mengumpul kekuatan meneruskan kehidupan.

“Fasa untuk bersedih, duduk dalam bilik tak keluar, enggan berjumpa dengan orang itu semua sudah berlalu.

“Ini adalah masa untuk bangkit dan macam-macam saya buat sekarang seperti meniaga pelbagai produk.

“Itu adalah benda yang bagi saya kuat untuk melupakan perkara menyedihkan, rasa rendah diri dan tak berguna namun harap dapat memberi inspirasi pada semua orang,” katanya lagi.

Dalam masa sama, dia tidak menyangka perkongsiannya mengenai kepentingan menjaga kesihatan diri baru-baru ini tular sehingga meraih pelbagai respons positif daripada orang ramai.

Dia juga meminta orang ramai tidak melemparkan sebarang pandangan negatif atau memandang rendah terhadap individu yang turut berjuang dengan penyakit kanser.

“Entah kenapa ada satu hari itu saya terfikir untuk cipta kesedaran mengenai penjagaan dan persedian diri.

“Jadi, saya muat naik status tentang kesihatan dan semua yang berlaku pada diri saya sebelum ini. Tiba-tiba perkara itu menjadi tular dan ramai yang mendoakan saya, alhamdulillah.

“Untuk kesihatan begini, macam-macam sudah saya lalui tetapi itu hanyalah fasa kehidupan yang harus hadapi sebagai seorang manusia.

“Selagi kalian dapat tengok saya bekerja, berdiri, bercerita seperti sekarang ini dan nampak okey, semuanya akan baik-baik sahaja dan jangan pandang rendah terhadap orang macam saya,” ujarnya.

Terdahulu, Zara mendedahkan disahkan menghidap kanser ginjal atau Renal Cell Carsinoma tahap satu sejak tahun lalu.

Ujarnya, sebahagian buah pinggangnya sudah dibuang dan kini perlu menjalani rawatan yang ditetapkan pihak hospital.

Aktres terbabit juga pernah mendedahkan bergelut masalah kesihatan berkaitan tulang leher, tulang belakang dan arthritis. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |