Suspek aniaya anak kucing di Batu Gajah ditahan

4 hours ago 5

BATU GAJAH – Seorang lelaki yang dipercayai menganiaya seekor anak kucing di sebuah kawasan perumahan, di sini, semalam ditahan polis setelah dia menyerah diri Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Md. Noor Aehawan Mohammad berkata, pada pukul 12.04 tengah hari semalam, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian seorang lelaki yang dipercayai melakukan oenganiayaan terhadap haiwan berkenaan.

Beliau berkata, kejadian tersebut telah dirakam oleh jiran suspek yang merupakan saksi kejadian.

“Hasil semakan terhadap rakaman video berdurasi 2 minit 19 saat mendapati seorang lelaki dilihat memukul seekor anak kucing beberapa kali menggunakan sebatang penyapu jenis aluminium.

“Kejadian tersebut berlaku di dalam kawasan parkir rumah suspek. Susulan kejadian, suspek telah hadir ke IPD Batu Gajah untuk menyerah diri dan telah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku telah memukul anak kucing tersebut menggunakan sebatang penyapu aluminium.

Md. Noor Aehawan berkata, suspek mengaku melakukan perubatan itu kerana mendakwa anak kucing berkenaan telah masuk ke bahagian enjin kenderaannya yang diparkir dalam kawasan rumah.

“Suspek bertindak sedemikian kerana dikhuatiri boleh mendatangkan bahaya kepada kucing tersebut serta menyebabkan kerosakan pada kenderaan sekiranya enjin dihidupkan atau dijalankan.

“Hasil siasatan juga mendapapati anak kucing tersebut masih hidup dan telah diambil oleh jiran dan dibawa ke klinik veterinar, hari ini bagi mendapatkan rawatan. Laporan veterinar akan dipohon bagi melengkapkan siasatan,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015.

“Suspek telah ditangkap bagi membantu siasatan. Orang ramai dinasihatkan untuk tidak mengambil tindakan sendiri atau melakukan perbuatan yang boleh mencederakan serta menganiaya haiwan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |