Mengilat haruan guna gewang ‘metal vibe’

7 hours ago 8

Seawal pagi, cahaya matahari mula menyinari permukaan air lombong yang tenang. Sekumpulan kaki pancing berkumpul dengan satu misi iaitu memburu ikan haruan yang hidup liar di dalam perairan lombong.

Ikan haruan di habitat seperti ini terkenal dengan sifat agresif.

Ia sentiasa tertarik dengan gewang yang menghasilkan getaran kuat setiap kali dimainkan seperti metal vibe.

Metal vibe merupakan sejenis gewang yang diperbuat daripada sekeping besi dengan bahagian kepalanya lebih tebal atau ‘gemuk’ berbanding badannya.

Terdapat dua atau tiga lubang eyelet di bahagian atasnya untuk disematkan snap swivel atau diikat tali perambut. Pilihan lubang-lubang eyelet itu akan mengubah rentak renangan metal vibe, sama ada kepalanya menunduk dengan lebih ketara atau tidak.

Ada metal vibe dilengkapi dengan satu mata tiga dan ada yang dua mata tiga. Bagi metal vibe yang hanya satu mata tiga, biasanya di bahagian belakang akan dilengkapi dengan bilah besi berkilat yang berputar bagi menambah daya tarikan terhadap ikan pemangsa.

Mata tiga boleh ditukar kepada mata tunggal jika gewang ini dimainkan di kawasan berstruktur bagi meminamakan kejadian tersangkut.

Paling penting, jika memainkan gewang ini, sentiasa membuatkan ia bergetar setiap kali dikarau supaya ikan akan tertarik dengannya, dan ini boleh diperhatikan daripada go­yangan di tip joran semasa gewang dikarau.

Jika tip joran kelihatan statik, itu bermakna mata kail di gewang telah tersangkut rumpair atau sampah. Ini membuatkan aksi gewang menjadi kaku, sekali gus mematikan nafsu ikan haruan untuk menyambarnya.

Sesi pancingan
Berbekalkan set ringan serta pelbagai pilihan metal vibe berat antara 7 hingga 15 gram, kami mula menyusuri tebing lombong.

Keunikan memancing haruan menggunakan metal vibe terletak pada aksi getaran gewang yang mampu menarik perhatian ikan, walaupun di dalam air keruh atau jernih.

Teknik karauan perlahan diselang-seli dengan henjutan pendek sering menjadi pilihan kerana mampu menggoda haruan yang sedang bersembunyi di dasar atau celah tumbuhan akuatik.

Gewang ini semakin mendapat tempat dalam kumpulan kami kerana ia didapati mampu menggoda ikan haruan dengan lebih pantas berbanding gewang permukaan seperti soft frog.

Penulis menggunakan gewang metal vibe berwarna merah dan putih.

Kadang-kadang, baru dua atau tiga kali dimainkan sudah ada ikan haruan yang menyambarnya. Apabila terkena sambaran secara mengejut, sememangnya amat memeranjatkan.

Kebiasaannya, gewang metal vibe akan ditenggelamkan hingga rapat ke dasar. Selepas itu barulah ia akan dikarau perlahan-lahan. Apabila gewang ini ‘menyodok’ dasar yang berlumpur atau berpasir itu, ia akan menghasilkan keladak.

Keladak yang muncul akan menimbulkan rasa ingin tahu ikan haruan sekitar perimeter tersebut untuk datang rapat menyiasat dan jika sempat ia akan terus menyergap gewang.

Sebaik terasa gewang dikeman, ini boleh diketahui dengan kelihatan buih-buih halus, joran seharusnya disembat untuk menancapkan mata kail ke mulut ikan.

Namun, kadangkala ikan haruan tidak sempat menerkan gewang dengan kemas, walaupun telah muncul buih-buih halus.

Tidak perlu gundah-gulana, baling sahaja gewang di kawasan yang sama dan mainkan ia dengan lebih perlahan lagi.

Selalunya, ikan haruan akan mengulang menyambar gewang sama atau ada haruan lain berhampiran yang akan menerkamnya kerana ada ketikanya bukan seekor haruan ada di kawasan sekitar.

Jika turun dengan niat untuk memainkan gewang metal vibe, pemancing perlu bersedia untuk kejadian sangkut.

Namun dewasa kini, dengan khidmat pembelian produk secara online, banyak gewang-gewang berharga ‘ekonomi’ boleh dibeli dengan tidak ‘mengoyakkan poket’ pemancing.

Warna gewang metal vibe yang terang selalunya menjadi di air lombong keruh atau gelap.

Suasana pancingan
Namun seperti kebiasaan, setiap trip memancing bersama rakan-rakan, suasana bukan sekadar tertumpu kepada hasil tangkapan. Ada sahaja gelagat yang mencuit hati.

Walaupun ada yang pulang dengan hasil lebih banyak, namun tiada istilah iri hati. Sebaliknya, kami saling berkongsi teknik, warna gewang yang menjadi pilihan haruan pada hari tersebut serta lokasi lubuk berpotensi menghasilkan sambaran.

Lombong-lombong tinggal di sekitar Simpang Pulai sememangnya mempunyai ekosistem yang sesuai untuk spesies ikan haruan. Air yang tenang, kewujudan tumbuhan air serta kawasan cetek menjadikan habitat ini lokasi pembiakan dan pemburuan makanan bagi spesies tersebut.

Kumpulan kecil kami selalu diingatkan sesama sendiri supaya sentiasa mengamalkan etika memancing dengan menjaga kebersihan kawasan pancingan, tidak meninggalkan sampah serta melepaskan semula ikan bersaiz kecil bagi memastikan populasi haruan terus terpelihara.

Read Entire Article
Pertanian | | | |