SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 28 September ini bagi keputusan rayuan ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun kerana mengabaikan anaknya tiga tahun lalu.
Hakim Noor Hisham Ismail menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar hujah kedua-dua belah pihak selain mendengar rayuan silang pihak pendakwaan berhubung hukuman pemenjaraan yang dijatuhkan kepada Ismanira, 31, sebelum ini.
Dalam prosiding hari ini, Ismanira diwakili peguam-peguam Haresh Mahadevan, Tiara Katirina Fuad, Lavanesh Mahadevan dan Haijan Omar.
Pendakwaan diwakili Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Iman Ahmad Sapian, Aqharie Durranie Aziz dan Ahmad Iqbal Azman.
Terdahulu, menerusi dokumen yang diperoleh
pihak pembelaan Ismanira berkata Hakim Mahkamah Sesyen hanya membuat kesimpulan bahawa kehilangan si mati (Zayn Rayyan) dan kecederaan yang dialami berpunca daripada tindakan perayu membiarkannya berjalan di belakang perayu.
“Tiada saksi yang melihat perayu mengabaikan si mati manakala kes pihak pendakwaan adalah berdasarkan keterangan keadaan. Pertuduhan sebagaimana yang ‘dipinda’ itu hanyalah satu dakwaan bahawa perayu melakukan perbuatan cuai dengan cara yang cuai,” kata pihak pembelaan.
Tambah pasukan pembelaan itu, dalam kes ini juga tiada keterangan saksi yang menyifatkan perayu sebagai seorang yang ganas atau ibu yang tidak menyayangi si mati selain insiden kecuaian yang didakwa itu hanya berlaku dalam tempoh beberapa saat.
Sementara pihak pendakwaan yang bertindak sebagai responden berhujah bahawa sabitan dan hukuman pemenjaraan lima tahun yang dijatuhkan terhadap perayu adalah betul dan memadai.
“Bagaimanapun bagi pihak pendakwaan hukuman pemenjaraan (lima tahun) tidak mencukupi dan mohon satu hukuman deterrent (pencegahan) dikenakan terhadap perayu,” katanya.
Sebelum ini, petisyen rayuan berkenan difailkan pihak pembelaan Ismanira pada Januari lalu menerusi Tetuan Haresh Mahadevan & Co selepas tidak berpuas hati terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya sebelum ini.
Pada 31 Oktober tahun lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya Dr. Syaliza Warnoh menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Ismanira selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dan pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes melangkaui keraguan munasabah terhadap Ismanira diakhir kes pembelaannya.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara lima tahun itu bermula dari tarikh sabitan selain tertuduh perlu menjalani bon berkelakuan baik dalam tempoh dua tahun dengan seorang penjamin warganegara tempatan, berserta cagaran RM3,000.
Selain itu mahkamah turut mengarahkan Ismanira menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam dan perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman pemenjaraan selain permohonan penangguhan hukuman ditolak.– KOSMO! ONLINE

2 hours ago
4














































![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)

