Tak sangka pertemuan 26 Julai jadi yang terakhir

5 hours ago 7

KUALA LUMPUR – Pertemuan pada sebuah majlis perkahwinan di Tanjung Malim, Perak pada 26 Julai lalu menjadi kenangan terakhir seorang waris bersama tiga beranak yang maut dirempuh sebuah lori Jabatan Imigresen (JIM) di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail awal pagi tadi.

Waris mangsa yang dikenali sebagai Kak Siti berkata, dia sama sekali tidak menyangka pertemuan bersama keluarga berkenaan pada kenduri perkahwinan anaknya itu merupakan kali terakhir mereka dapat bersua muka.

“Waktu itu kami sempat berjumpa di Tanjung Malim ketika kenduri kahwin anak saya pada 26 Julai lalu. Tidak sangka itu menjadi pertemuan terakhir kami.

“Selalunya kalau mereka hendak turun Kuala Lumpur, mereka akan beritahu. Tetapi kali ini mereka senyap-senyap bercuti ke sini,” katanya ketika ditemui di pekarangan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, dia menerima perkhabaran mengenai tragedi yang menimpa keluarga berkenaan kira-kira pukul 7 pagi tadi.
Katanya, mereka difahamkan tiba di ibu negara sebelum kejadian dan menginap di sebuah hotel di Chow Kit.

Ujarnya, ahli keluarga pada mulanya keliru apabila dimaklumkan mengenai kemalangan itu kerana menyangka mangsa terbabit dalam kemalangan kenderaan.

“Pada mulanya kami ingat mereka kemalangan kereta sebab mendapat berita mengatakan berlaku kemalangan. Kami tidak sangka mereka sebenarnya sedang berjalan kaki sebelum dilanggar,” katanya.

Sementara itu, anak saudara Allahyarham Shaik Mohd. Firdaus, Zaid Darfis, 39, berkata, dia difahamkan keluarga berkenaan datang ke Kuala Lumpur untuk menziarahi ibu Allahyarham di Semenyih.

“Arwah sempat hubungi kakak beritahu sudah sampai di Kuala Lumpur. Saya hanya mengetahui kejadian ini selepas mentua telefon kira-kira pukul 7.30 pagi tadi.

“Memang terkejut. Lepas itu bila tengok Twitter dan TikTok, baru nampak kes ini tular,” katanya.

Menurut Zaid, kali terakhir dia bertemu Allahyarham adalah ketika majlis perkahwinan anak sulungnya, Siti Nor Shakira, 28, di Kampar, Perak beberapa bulan lalu.

Tiga mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Shaik Mohd. Firdaus Shaikh Yahya, 53, yang merupakan pesara tentera bersama dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12.

Isteri Allahyarham, Norhayati Razali, 55, yang turut menjadi mangsa kini dirawat di unit rawatan rapi dan difahamkan berada dalam keadaan stabil. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |