Fahmi Zainol tiada niat cederakan isteri – Peguam

3 hours ago 4

BALIK PULAU – Bicara kes Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Jerejak, Fahmi Zainol yang didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya, Februari lalu, disambung semula pada 10 September depan.

Majistret, Chia Huey Ting menetapkan tarikh tersebut selepas Timbalan Pendakwa Raya, Ikmal Affendi Zulkifly memohon penangguhan bagi mendapatkan arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) ketika prosiding dijalankan di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Terdahulu, peguam Dr. Shamsher Singh Thind yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menggugurkan pertuduhan tersebut selepas mendakwa kes berkenaan sudah tidak mempunyai asas untuk diteruskan susulan keterangan pengadu.

Shamser berkata, keterangan pengadu hari ini turut menunjukkan berlaku pergelutan antara pasangan berkenaan selain pengadu menyatakan tertuduh tidak berniat mencederakannya dan tindakan berkenaan berlaku dalam keadaan mempertahankan diri.

“Saksi (isteri pengadu) semasa memberi keterangan tadi sudah beritahu sebenarnya suaminya tiada niat, mereka tengah gaduh dan telahpun diakui oleh pengadu tadi.

“Jadi, dalam pergaduhan itu, saksi juga telah menggunakan perkataan ‘self-defense’. Dia kata dia bukan berniat untuk mencederakan saya (isteri). Saksi kata tak ada niat nak cederakannya,” katanya.

Beliau turut merujuk beberapa keputusan mahkamah terdahulu berhubung prinsip undang-undang berkaitan kegagalan pihak pendakwaan mengemukakan keterangan yang ada serta keadaan sesuatu pertuduhan yang dianggap tidak berasas.

Bagaimanapun, Ikmal berkata, pihaknya perlu merujuk perkara tersebut kepada AGC untuk mendapatkan arahan sama ada kes berkenaan perlu diteruskan susulan keterangan saksi berkenaan.

Huey Ting kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk mendapatkan arahan lanjut dan menetapkan 10 September ini sebagai tarikh sambung bicara dengan semua saksi yang diperlukan diminta hadir.

Sebelum ini, Kosmo! Online melaporkan, Fahmi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Balik Pulau pada 27 Februari 2026 atas pertuduhan dengan sengaja mencederakan isterinya pada minggu lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |