Menjejak kerapu ‘boron’ Selat Melaka

8 hours ago 8

Pengalaman mendapatkan ikan kerapu ‘boron’ antara tarikan utama yang ditawarkan oleh Snappa Snipaa, satu perkhidmatan bot memancing yang membawa pelanggannya meneroka lubang-lubang atau alur berpotensi bermula dari perairan Sabak Bernam dan Tanjung Karang, Selangor sehingga ke Hutan Melintang, Perak.

Ketika bot mula meninggalkan jeti, suasana di atas dek dipenuhi debaran dan harapan. Setiap pemancing yang menyertai ekspedisi ke laut membawa satu impian iaitu merasai sendiri pertarungan dengan kerapu saiz gadang yang mendiami perairan Selat Melaka.

Bagi kaki pancing, perjalanan ke tengah laut bukan sekadar aktiviti mengisi masa lapang. Ia adalah satu pengalaman menggabungkan kesabaran, strategi, kemahiran membaca keadaan laut dan peluang untuk berdepan dengan ikan yang mampu menguji kekuatan peralatan serta fizikal pemancing.

Kawasan menjadi lubuk ikan kerapu bukan sebarangan, ikan ini suka mendiami lubang-lubang dan alur yang dalam dipenuhi struktur berbatu karang banat.

Selain itu, ia juga menjadikan kawasan kapal karam dan tukun-tukun tiruan sebagai habitat kekalnya.

Antara kerapu ‘boron’ yang pernah dinaikkan oleh tekong Fauzi Mansur dengan teknik slow pitch jigging.

‘Kubu pertahanan’ ikan kerapu ini bukan mudah digempur, pemancing perlukan set pancing yang betul-betul ampuh untuk menghelanya keluar.

Tekong

Bagi memastikan setiap perjalanan memberikan peluang terbaik kepada pelanggan, setiap trip dengan bot Snappa Snipaa akan dikendalikan oleh tekong berpengalaman, Fauzi Mansur yang memahami karakter dasar lubuk-lubuk ikan kerapu ‘boron’ ini.

Sebelum menentukan hala tuju perjalanan ke lubuk-lubuk berpotensi ini, beberapa faktor perlu diberi perhatian termasuk keadaan arus, arah angin dan perubahan masa arus pasang surut.

Menurut Fauzi, keadaan laut sentiasa berubah dan pendekatan memancing perlu disesuaikan mengikut situasi semasa.

“Setiap lubuk mempunyai karakter tersendiri. Ada masa ikan aktif di kawasan dasar dan mahukan umpan, ada ketika pula ikan lebih mudah dipancing menggunakan jig. Sebab itu, teknik perlu sentiasa diubah mengikut keadaan,” katanya.

Berdasarkan keadaan tersebut, pemancing bersama bot Snappa Snipaa berpeluang mencuba pelbagai teknik pancingan termasuk pancing dasar, slow jigging dan bottom drift.

Gabungan teknik berkenaan membolehkan pemancing memburu ikan pada kedalaman serta keadaan arus yang berbeza, sekali gus meningkatkan peluang memperoleh hasil terbaik sepanjang sesi memancing.

Selain kerapu boron bersaiz besar, ikan-ikan lain seperti gerepoh (GT), jenahak, tenggiri, merah dan senangin turut menjadi habuan pemancing.

Bagi sesetengah pemancing, detik paling mendebarkan bukan ketika ikan dinaikkan ke atas bot, tetapi saat menunggu sambaran berlaku. Ada masa keadaan laut memerlukan kesabaran yang tinggi sebelum ikan mula aktif.

Namun apabila peluang tiba, suasana di atas bot boleh berubah dalam sekelip mata apabila joran mula melentur dan pemancing mula bertarung dengan spesies sasaran.

Setiap sambaran menjadi pengalaman yang sukar dilupakan, terutama apabila berdepan ikan bersaiz besar yang memberikan tentangan luar biasa.

Bot Snappa Snipaa menyusuri perairan Selat Melaka menuju ke lubuk kerapu ‘boron’.

Selain kemahiran menggunakan teknik yang sesuai, pengalaman Fauzi membaca perubahan arus serta mengenal pasti struktur dasar laut menjadi antara kelebihan utama dalam setiap ekspedisi.

Keupayaan tekong memilih kawasan berpotensi membantu pemancing memaksimumkan masa berada di laut, di samping memberikan pengalaman lebih bermakna kepada pelanggan yang menyertai trip.

Walaupun hasil tangkapan menjadi per­kara utama, namun tekong turut memberi perhatian kepada aspek keselamatan dan keselesaan sepanjang perjalanan.

Hubungan mesra antara tekong dan pemancing menjadikan setiap ekspedisi bukan sekadar aktiviti memburu ikan, tetapi satu ruang untuk berkongsi ilmu, pengalaman dan minat yang sama.

Bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berbeza, bot Snappa Snipaa menyediakan pakej memancing secara fleksibel mengikut jarak lokasi yang dipilih.

Pemancing boleh memilih sama ada menyertai trip ke kawasan berhampiran atau meneroka lubuk yang lebih jauh di tengah laut berdasarkan sasaran spesies ikan serta bajet masing-masing.

Keistimewaan perairan Sabak Bernam, Tanjung Karang dan Hutan Melintang menjadikan kawasan tersebut terus menjadi pilihan dalam kalangan kaki pancing yang mencari pengalaman memancing bertaraf premium di Selat Melaka.

Dengan gabungan lokasi yang berpotensi, kepakaran tekong serta strategi pancingan yang disesuaikan mengikut keadaan laut, setiap perjalanan bersama bot ini membuka peluang untuk pemancing mencipta kenangan baharu.

Bagi kaki pancing, nilai sebenar sebuah ekspedisi bukan hanya terletak pada jumlah ikan yang berjaya didaratkan.

Lebih penting adalah pengalaman berada di laut, menguji kemahiran, mempelajari teknik baharu dan menikmati debaran apabila spesies idaman akhirnya berjaya dinaikkan ke atas bot.

Read Entire Article
Pertanian | | | |