PETALING JAYA – Sunway Square Mall mengubah serta-merta dasar mesra haiwan susulan arahan kerajaan negeri yang mengekalkan larangan membawa haiwan peliharaan ke pusat beli-belah di Selangor.
Menerusi satu kenyataan kelmarin, pengurusan pusat beli-belah itu memaklumkan bahawa haiwan peliharaan tidak lagi dibenarkan berada di dalam premis tertutup dalaman bagi memastikan persekitaran yang selamat, bersih dan selesa kepada pengunjung.
Menurut kenyataan tersebut, langkah berkenaan diambil sebagai pematuhan terhadap arahan pihak berkuasa negeri serta demi kepentingan bersama.
Bagaimanapun, haiwan peliharaan masih dibenarkan berada di kawasan luar yang telah ditetapkan sebagai zon mesra haiwan iaitu Squarrel’s Playground yang terletak di Sunway South Quay Lake.
Tambahnya, haiwan peliharaan juga dibenarkan menemani pemilik masing-masing ketika melalui laluan antara tempat letak kereta pusat beli-belah di aras B3 dan B4 serta zon luar yang ditetapkan dengan pemantauan pasukan keselamatan pusat beli-belah tersebut.
“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku dan menghargai kefahaman orang ramai ketika kami mematuhi arahan kerajaan negeri, sambil terus berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua pengunjung,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, media melaporkan kenyataan Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim yang memaklumkan bahawa larangan membawa haiwan peliharaan ke pusat beli-belah di negeri ini masih kekal berkuat kuasa.
Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan negeri akan meneliti semula garis panduan sedia ada bagi memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara.
Terdahulu, tular di media sosial gambar papan tanda di pusat beli-belah berkenaan yang memaparkan kenyataan membenarkan kemasukan haiwan peliharaan, sekali gus mencetuskan kekeliruan dalam kalangan netizen.- KOSMO! ONLINE

2 hours ago
1
![[VIDEO] ‘Patutlah ikan tak sebanyak dulu, ada pencuri pula’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/WhatsApp-Image-2025-12-19-at-11.18.31-AM.jpeg)
















































