Sunway Carnival Mall tawar ‘gold bar’ kepada 50 pelanggan bertuah

8 hours ago 2

PETALING JAYA – Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini, Sunway Carnival Mall telah memperkenalkan kempen perayaan bertemakan ‘EIDisi Manis’.

Kempen yang telah bermula sejak 28 Februari lalu dan berakhir pada 6 April depan itu menawarkan pelbagai aktiviti menarik dan promosi eksklusif kepada pengunjung.

Promosi paling istimewa yang disediakan sempena kempen kali ini adalah pelanggan berpeluang memenangi ‘gold bar’ atau bar emas daripada SK Jewellery pada 29 Mac ini.

Syaratnya, pelanggan perlu berbelanja RM1,800 dalam dua resit pada hari yang sama untuk menebus dan ia terhad kepada 50 penebusan sahaja.

Pelbagai baucer dan hadiah menarik yang boleh dimenangi para pelanggan Sunway Carnival Mall.

Pengurus Besar Sunway Carnival Mall, Chai Wen Yew berkata, selain bar emas, pelanggan juga boleh menebus hadiah istimewa lain termasuk bekas pelapik cawan edisi khas, bekas makanan dan pelbagai baucer tunai.

Jelasnya, kempen itu diadakan bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.

“Sambil kita menyambut perayaan ini, marilah kita menghayati nilai perpaduan dan menghargai waktu bersama insan tersayang.

“Sunway Carnival Mall menawarkan suasana yang meriah dengan dekorasi menawan, aktiviti menarik, serta lokasi ideal untuk membeli-belah dan berbuka puasa bersama,”* katanya.

Mengulas lanjut, Wen Yew berkata, Sunway Carnival Mall turut membawa pengunjung mengimbau kenangan silam melalui hiasan bertemakan ‘Keindahan Raya Ala Kampung Pulau Pinang’.

Menurutnya, suasana dalam pusat beli-belah akan dihiasi dengan pokok Pinang serta replika rumah tradisional yang membawa pelanggan merasai suasana ala kampung serta menghidupkan nostalgia sambutan Hari Raya di desa.

Lebih menarik katanya, batang pokok Pinang yang digunakan dalam hiasan itu dibuat daripada pasu bunga terpakai.

Antara hiasan dan dekorasi yang disediakan di pusat beli-belah Sunway Carnival Mall.

“Ia adalah salah satu inisiatif pihak syarikat untuk menggalakkan penggunaan semula bahan buangan serta meningkatkan kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar.

“Selain itu, pengunjung juga berpeluang menikmati persembahan kebudayaan seperti persembahan tarian tradisional, boria, wayang kulit serta bengkel kraf tangan yang akan mencipta kenangan baharu bersama keluarga.

“Beberapa zon khas turut disediakan untuk memberikan pengalaman interaktif serta sudut bergambar yang menarik,”ujarnya.

Sebagai pusat beli-belah sehenti untuk persiapan Aidilfitri, Wen Yew menambah, Sunway Carnival Mall turut menawarkan pelbagai promosi dan produk eksklusif.

“Pengunjung boleh mendapatkan hamper hadiah istimewa daripada jenama Famous Amos dan Jaya Grocer, serta koleksi eksklusif daripada jenama terkenal seperti Pandora, Bath & Body Works, Siti Khadijah, dan banyak lagi.

“Selain itu, pihak syarikat turut bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menerusi program Agrofiesta Aidilfitri yang menawarkan pelbagai pilihan kuih tradisional, juadah tempatan, aksesori perayaan dan barangan keperluan Hari Raya,”katanya.

Justeru katanya, orang ramai dijemput untuk mengunjungi Sunway Carnival Mall bagi merasai sendiri kehangatan sambutan Aidilfitri serta menikmati pelbagai aktiviti yang disediakan.

Untuk maklumat lanjut, pengunjung boleh melayari laman web rasmi Sunway Carnival Mall atau mengikuti media social.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |