Sultan Nazrin hadiri sambutan Deepavali

3 hours ago 2

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menghadiri Majlis Sambutan Deepavali 2025 peringkat negeri di Stadium Indera Mulia, di sini hari ini.

Sejurus berangkat tiba sekitar pukul 8.40 malam, Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim diiring ke meja santapan bagi menikmati juadah yang dihidangkan antaranya mee rebus, bihun sup, sambal tumis sotong, puri, prata dan dalca kambing.

Pada majlis tersebut, baginda berkenan menyampaikan sumbangan kepada 70 orang anak yatim daripada Pusat Jagaan Anak-anak Yatim dan Miskin Nurul Iman, Pertubuhan Pengurusan Pusat Jagaan 1Malaysia Perak, Pertubuhan Kebajikan Kanak-Kanak Pelangi Perak; Persatuan Kebajikan Kanak-kanak Yatim Rumah Visi (Vision Home) dan Pertubuhan Kebajikan Kanak-kanak Arut Perum Jothy.

Lebih 5,000 pengunjung berbilang kaum hadir dengan kira-kira 12 gerai menyediakan pelbagai juadah termasuk mee goreng, nasi vanggey, karipap dan apam manis serta makanan tradisi masyarakat India seperti idli, puri, vadai dan idiyappam.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam ucapannya berkata, sambutan Deepavali bukan sekadar pesta cahaya yang menewaskan kegelapan di luar diri tetapi membawa mesej mendalam tentang cahaya yang menundukkan kegelapan di dalam hati.

Katanya, kegelapan yang merangkumi prasangka, kebencian dan keangkuhan sering menjadi punca perpecahan dalam masyarakat.

“Dunia hari ini tampak semakin terang dengan cahaya teknologi, kota-kota kita pula disirami dengan cahaya kemodenan. Namun pada masa yang sama, kegelapan nilai dan akhlak kian merayap dan meluluhkan kekuatan jiwa manusia,” katanya.

Menurut beliau, masyarakat kini semakin terbiasa melihat penderitaan tanpa sentuhan simpati dan mendengar berita duka tanpa empati, sedangkan nilai kemanusiaan itulah yang sepatutnya menjadi cahaya dalam kehidupan bermasyarakat. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |