Sukar bantu nenek, gaji cukup untuk belanja dapur

1 month ago 39

JERANTUT – Walaupun berdepan kesulitan hidup, tiga beradik dari Felda Kota Gelanggi Dua di sini, tetap tabah menjaga dan merawat nenek mereka, Noriah Keria, 79, yang kini mende­rita penyakit angin ahmar atau strok sejak Ogos lalu.

Nik Nurliana Nik Razi, 29, berkata, dia dan dua lagi beradiknya perlu menyediakan perbelanjaan mencecah RM2,000 sebulan termasuk bagi menyediakan susu khas, lampin pakai buang serta kos berulang alik ke hospital.

Katanya, seorang adiknya yang merupakan ibu tunggal ha­nya mencari rezeki sebagai peniaga kecil-kecilan dan seorang lagi bekerja sebagai pembantu kedai makan di Felda ini.

“Suami saya hanya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan tidak seberapa.

“Keadaan ini menyukarkan kami memenuhi kebajikan nenek kerana hasil pendapatan cuma cukup untuk belanja dapur dan persekolahan anak,” katanya yang juga suri rumah.

Menceritakan penyakit yang menimpa nenek mereka, Nik Nurliana berkata, warga emas itu mengalami penyakit kelenjar di leher sebelum dibawa ke Hospital Bandar Pusat Jengka untuk rawatan dan kemudian dihantar ke Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.

“Doktor beritahu nenek me­ngalami pendarahan di bahagian otak ekoran serangan angin ahmar yang dialaminya sehingga dia tidak mampu bangun.

“Dua minggu berada di hospital, nenek mengalami sedikit perubahan, namun masih terlantar sehingga kini dan hanya mampu bersuara perlahan, manakala pergerakan ke bilik air perlu gunakan kerusi roda,” katanya.

Nik Nurliana berkata, nenek­nya yang mempunyai enam orang anak, empat cucu dan 15 cicit sudah menjalani rawatan fisioterapi sebanyak lima kali di hospital dan keadaannya masih tidak berubah dan hanya terlantar di atas katil.

Sementara itu, seorang lagi cucu Noriah, Nik Addymar Fahana, 32, berkata, neneknya minum susu khas yang berharga RM130 setin dan perlu sekurang-kurangnya empat tin sebulan termasuk pembelian lampin.

“Kami sangat sayang kepada nenek, tetapi tidak mampu menyediakan kewangan yang mencukupi untuk perbelanjaan rawatannya,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Nik Nurliana Nik Razi di talian ­013-325 9557 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam Noriah Keria bernombor 06037023262380.

Read Entire Article
Pertanian | | | |