BANGKOK – Skuad taekwondo negara melakar kejutan membutirkan pingat emas dalam acara recognized poomsae berpasukan wanita pada Sukan SEA 2025 hari ini, sekali gus mengubat kekecewaan kem negara yang terpalit kontroversi pengadilan pada sebelah pagi.
Jurulatih negara, Yap Yih Tiing mengakui kilauan emas itu hadir tanpa diduga memandangkan gandingan wanita yang dibarisi Wong Zin, Seah Jing Ying, Yow Mei Yee tersebut kali pertama turun di pentas temasya dwitahunan itu dan tidak diletakkan sebarang sasaran pingat emas.
Bagaimanapun, kejayaan itu hadir tepat pada masanya bagi menebus duka kontinjen taekwondo negara yang sebelum itu berdepan situasi tegang dalam acara berpasukan campuran, Jason Loo Jun Wei-Nur Humaira Abdul Karim yang menjadi sandaran utama emas namun dinafikan kemenangan akibat keputusan yang dilihat berat sebelah.
TRIO taekwondo negara menjelmakan pingat emas dalam acara poomsae berpasukan wanita Sukan SEA 2025 hari ini. Foto-MSN“Kemenangan emas pasukan wanita ini adalah satu kebangkitan buat Malaysia terutama isu melibatkan gandingan Jason dan Nur Humaira di sebelah pagi ternyata memberi tekanan kepada kami terutama isu pengadilan di sini. Tetapi saya gembira kerana satu emas berjaya menjadi milik negara.
“Keputusan agak sengit dan hanya dipisahkan keputusan yang tipis. Tetapi mereka memberikan persembahan cukup baik untuk mencipta kemenangan. Walaupun baru pertama kali digandingkan, mereka tetapi memberi saingan,” katanya.
Kemenangan itu menyaksikan skuad negara menutup hari pertandingan dengan satu pingat emas dan dua pingat gangsa yang disumbangkan menerusi acara berpasukan lelaki dan individu lelaki. -KOSMO! ONLINE

7 hours ago
4

![[VIDEO] ‘Lumpur sampai dua meter, lima orang pun tak mampu angkat kereta’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/BANJIR-ACEH.jpeg)















































