Sukan SEA: Skuad berbasikal trek sambar tiga pingat emas

10 hours ago 4

BANGKOK – Skuad berbasikal trek negara melakar hari gemilang di Velodrom Hua Mark apabila ‘menyapu bersih’ tiga pingat emas yang ditawarkan menerusi acara keirin lelaki, scratch wanita dan kejar-mengejar berpasukan lelaki pada Sukan SEA Thailand 2025, hari ini.

Kejayaan luar biasa itu bukan sahaja melangkaui sasaran awal satu emas yang diletakkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), malah turut melakar sejarah apabila menghadiahkan pingat ke-200 buat kontinjen negara di temasya kali ini.

Tirai emas negara dibuka oleh Muhammad Ridwan Sahrom yang cemerlang dalam acara keirin selepas menewaskan jaguh tuan rumah, Jai Angsuthasawit.

Momentum diteruskan oleh Nur Aisyah Mohamad Zubir, yang mengetepikan kepenatan untuk memenangi acara scratch, biarpun baru sahaja merangkul pingat perak dalam acara lebuh raya, kelmarin.

Detik paling bersejarah hadir menerusi kuartet kejar-mengejar berpasukan lelaki yang menumbangkan Thailand di final untuk menghadiahkan pingat ke-200 kontinjen Malaysia.

Gandingan mantap Abdul Azim Aliyas, Mohd. Jafri Muhammad Hafiq, Muhammad Yusri Shaari dan Newjoe Lau memastikan lagu Negaraku berkumandang buat kali ketiga di velodrom.

Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill, menyifatkan kejayaan itu sebagai detik yang cukup manis dan membanggakan.

“Hari ini adalah detik yang menggembirakan. Saya cukup berbangga apabila pingat ke-200 ini dicapai menerusi sukan berbasikal trek dan lebih manis kerana kita sapu bersih semua tiga emas yang dipertandingkan hari ini,” katanya.

Amarjit turut optimis skuad negara mampu menambah dua lagi pingat emas dalam saingan esok.

“Pelumba negara membuktikan kerja keras mereka membuahkan hasil dan kita harap dua emas lagi mampu dicapai esok,” ujarnya.

Skuad berbasikal negara akan meneruskan cabaran dalam acara pecut berpasukan lelaki dan point race esok. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |