Sukan SEA: Skuad badminton wanita negara terlepas tiket final

2 hours ago 2

BANGKOK – Skuad badminton berpasukan wanita negara terlepas peluang mara ke pentas final Sukan SEA Thailand 2025 selepas terpaksa tunduk kepada pasukan Indonesia 2-3, dalam aksi separuh akhir di Gymnasium 4, Universiti Thammasat, Pathum Thani, hari ini.

Malaysia bermula sedikit goyah apabila perseorangan pertama, K. Letshanaa, gagal mengutip mata pembukaan selepas bergelut menyaingi pemain No. 7 dunia, Putri Kusuma Wardani, sebelum tewas 9-21, 10-21.

Namun, semangat pasukan kembali menyala apabila  beregu utama negara, Pearly Tan–M. Thinaah apabila berjaya menyamakan kedudukan 1-1 selepas menundukkan pasangan Indonesia, Rachel Allessya Rose–Febi Setianingrum menerusi keputusan 21-14, 17-21, 21-16 dalam pertarungan 59 minit.

Rentak positif itu diteruskan oleh perseorangan kedua negara, Wong Ling Ching selepas mencipta kejutan sejurus menewaskan pemain No. 10 dunia, Gregoria Mariska Tunjung, 22-20, 15-21, 21-16 dalam aksi sengit selama satu jam enam minit untuk meletakkan Malaysia di depan 2-1.

PEMAIN perseorangan wanita negara, Wong Ling Ching melakukan kejutan menumbangkan pemain Indonesia, Gregoria Mariska Tunjung dalam acara beregu di Sukan SEA Thaialand 2025. GAMBAR: FARIZ RUSADIO

Namun, langkah Malaysia untuk meraih kelebihan tidak kesampaian apabila beregu kedua, Go Pei Kee–Toh Ee Wei, gagal mengekalkan momentum pasukan sebelum tumpas 10-21, 9-21 kepada pasangan ranking ke-59 dunia, Febriana Dwipuji Kusuma–Meilysa Trias Puspitasari, sekali gus membolehkan pasukan lawan menyamakan kedudukan 2-2.

Segala harapan akhirnya terletak di bahu perseorangan ketiga, Siti Zulaikha Azmi, namun pemain muda itu tidak mampu menghalang kebangkitan Mutiara Ayu Puspitasari, yang mencatat kemenangan 18-21, 16-21 untuk memastikan Indonesia mara ke final dengan keputusan 3-2.

Dengan kekalahan tersebut, Malaysia menutup kempen berpasukan wanita dengan pingat gangsa, manakala Indonesia bakal menentang tuan rumah, Thailand, bagi perebutan pingat emas.

Ketua jurulatih perseorangan wanita negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin akur dengan keputusan tersebut biarpun pemainnya mahu mencipta sejarah untuk ke pentas final pada temasya dwitahunan tersebut.

Zulkarnain berkata, secara keseluruhannya berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh K. Letshanaa, Wong Ling Ching dan Siti Zulaikha yang berjaya menyerap tekanan biarpun turun selaku pasukan bukan pilihan.

“Saya sangat berpuas hati kerana semalam (suku akhir) kita diletakkan sasaran wajib menang dan kita berjaya lakukannya. Hari ini, kita turun bukan pasukan pilihan,namun pemain tetap memberi saingan sengit terutama Ling Ching berjaya melakar kejutan menewaskan lawan yang lebih tinggi rankingnya.

“Memang sasaran kita adalah gangsa dan kita berjaya mencapainya. Sudah tentu pemain mahu mencipta sejarah (ke final), namun kita sudah melakukan yang terbaik, bersemangat dan karakter yang diperlukan. Saya harap selepas ini, mereka memberi tumpuan dalam acara perseorangan,” kata Zulkarnain sejurus tamat perlawanan. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |