Sukan SEA: Sekys taruhan buru emas MLBB

1 month ago 35

SKUAD Mobile Legends Bang Bang (MLBB) lelaki negara berlepas ke Thailand semalam dengan misi memburu pingat emas Sukan SEA 2025 sambil menjadikan fleksibiliti Muhd. Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekys) sebagai senjata taktikal utama pasukan.

Pengurus pasukan, Simon Lim berkata, kejayaan skuad kebangsaan pada Kejohanan Dunia IESF minggu lalu menjadi tonik terbaik untuk Malaysia menjelang cabaran Sukan SEA.

Katanya, pemain seperti Muhammad Qayyum Ariffin (Yums), Ealtond Rayner (Lolealz), Muhammad Danish Fitri (Unii), Idreen Abdul Jamal (Momo), Hazziq Danish Mohamad Rizwan (Stormie) serta Sekys kini tampil lebih matang dan berdisiplin dalam aspek permainan.

Menurutnya, kekuatan Malaysia kali ini terletak pada keupayaan menukar strategi secara pantas kerana memiliki barisan pemain yang mampu memainkan pelbagai peranan, sekali gus memberi variasi taktikal lebih luas berbanding edisi lalu.

“Kalau berdepan masalah menentang KurtTzy (pemain Filipina), kita boleh masukkan Unii atau Sekys sebab ramai belum nampak gaya permainan mereka secara kompetitif dan itu kelebihan kami,” katanya.

Simon menjelaskan, Filipina kekal sebagai seteru paling kuat memandangkan mereka sudah bersama dalam skuad yang sama selama tiga tahun.

Bagaimanapun, beliau optimis Malaysia kini berada pada tahap terbaik selepas memperkemas aspek komunikasi, disiplin taktikal dan ketahanan mental sepanjang kem latihan, sekali gus memperkukuh keyakinan terhadap misi membawa pulang emas di Bangkok.

“Kita baru tiga minggu berlatih bersama, tapi momentum di IESF membuktikan pemain mampu kekalkan konsistensi ketika tekanan tinggi,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Simon berkata Malaysia perlu bergantung kepada tuah undian Sukan SEA hari ini kerana format hanya menampilkan dua kumpulan yang berisiko berdepan ‘kumpulan maut’.

Malaysia meraih pencapaian terbaik pada edisi lalu apabila skuad lelaki meraih pingat perak selepas tewas kepada Filipina di final dan undian kali ini bakal menentukan laluan awal mereka. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |