BANGKOK – Upacara pembukaan Sukan SEA Thailand 2025 yang dijadualkan berlangsung malam ini di Stadium Nasional Rajamangala tetap akan diteruskan, meskipun dibayangi kebimbangan keselamatan susulan insiden pertempuran di sempadan Thailand-Kemboja.
Di sebalik tema perpaduan ‘We Are One – Connected by the Sea’, suasana di Bangkok kini dilaporkan berada dalam keadaan berjaga-jaga terutama menjaga keselamatan kontinjen negara-negara bertanding termasuk Kemboja.
Malam ini, acara pembukaan Sukan SEA edisi ke-33 itu akan bermula pada pukul 7.00 malam (waktu tempatan) dengan menyaksikan perarakan masuk lebih 12,000 atlet dari 11 negara bertanding.
Suasana sekitar Bangkok turut menyaksikan beberapa jalan utama ditutup sepenuhnya susulan keberangkatan Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn dan Ratu Suthida yang dijadualkan merasmikan temasya tersebut.
Seramai 100 pengamal media termasuk wartawan dan jurukamera turut dibawa menaiki bas khas ke stadium bagi memastikan kawalan pergerakan lebih teratur.
Stadium Rajamangala bakal bertukar wajah menjadi ‘lautan digital’ menerusi teknologi terkini sekali gus bersedia memukau ribuan penonton dan jutaan peminat sukan di rantau ini dengan konsep pentas unik digelar ‘Stage of Water’ yang menghubungkan 11 negara Asia Tenggara.
Lebih 800,000 liter air bersamaan satu pertiga kapasiti kolam renang Olimpik akan digunakan di atas pentas untuk persembahan pembukaan tersebut.
pada masa sama, Thailand turut memperkenalkan konsep ‘The First Green Flame’ dengan menggunakan obor digital tanpa asap pertama dalam sejarah temasya, yang akan disempurnakan oleh jaguh Taekwondo Thailand, Panipak Wongpattanakit.
Turut menjadi daya tarikan pada upacara malam ini ialah penampilan bintang K-pop antarabangsa, BamBam GOT7 serta legenda Muay Thai, Buakaw Banchamek, yang dijangka memeriahkan persembahan pembukaan.
Pintu stadium dibuka mulai jam 6.00 petang, manakala siaran langsung boleh ditonton menerusi saluran penyiar rasmi tuan rumah. – KOSMO! ONLINE

12 hours ago
5





![[VIDEO] Dua kenderaan halang ambulans bawa pesakit disiasat](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/WhatsApp-Image-2025-12-09-at-9.00.04-PM.jpeg)











































