BANGKOK – Beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan- M. Thinaah melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menamatkan penantian 10 tahun Malaysia untuk meraih pingat emas acara beregu wanita pada Sukan SEA Thailand 2025, hari ini.
Aksi bertenaga yang dipamerkan oleh pasangan ranking No.2 dunia itu di Gimnasium Universiti Thammasat luar biasa apabila mereka dipaksa bekerja keras sebelum menundukkan pasangan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari menerusi kemenangan rubber set 21-16, 19-21, 21-17 dalam tempoh 86 minit.
Kejayaan manis tersebut sekali gus mengulangi pencapaian kali terakhir skuad negara memenangi emas dalam acara tersebut menerusi gandingan Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho pada Sukan SEA 2015 di Singapura.
Dalam perlawanan akhir tersebut, gandingan negara bermula garang pada set pertama dengan corak permainan pantas dan pertahanan kental, sekali gus menyukarkan wakil Indonesia untuk mencari rentak kemenangan.
Bagaimanapun, hasrat Pearly-Thinaah untuk menamatkan perlawanan lebih awal tidak kesampaian apabila gandingan Indonesia itu berjaya bangkit pada set kedua untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.
Pada set ketiga, Pearly-Thinaah yang turun buat kali pertama bersaing di temasya dwitahunan itu cemas seketika apabila diasak hebat hingga ketinggalan 12-16.
Namun, pengalaman bersaingan di pentas dunia membantu mereka bangkit mengejar mata demi mata sebelum menutup perlawanan tersebut dengan kemenangan cukup manis 21-17.
Kemenangan di bumi Thailand ini sekali gus memastikan ramalan pingat emas yang diletakkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dilaksanankan dengan baik oleh Pearly-Thinaah dan lebih manis, ia turut menyumbang pingat emas ke-17 buat kontinjen Malaysia pada temasya kali ini. – KOSMO! ONLINE

8 hours ago
6




![[VIDEO] Kemunculan Seventeen petang, 10 pagi dah `cop’ tempat](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/Tangkap-layar-para-peminat-kumpulan-Seventeen-yang-memenuhi-Pavilion-Kuala-Lumpur-hari-ini.jpeg)








![[VIDEO] Sebak lihat pak cik terus berdoa lepas pelanggan beli buah](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/Tangkap-layar-video-yang-dimuat-naik-Mohd-Hanif-di-TikTok-semalam.jpeg)



































