Sukan SEA: Hoki dewan perlu tekan butang panik

14 hours ago 4

BANGKOK – Skuad hoki dalam dewan negara perlu segera menekan butang reset dan melakukan penilaian semula secara menyeluruh susulan kegagalan merampas pingat emas Sukan SEA 2025.

Ketua jurulatih skuad lelaki negara, Muhamad Amin Rahim menegaskan fasa reset bukan bermakna melupakan terus kekalahan perit kepada Indonesia, sebaliknya ia adalah titik tolak untuk merangka semula program persiapan yang jauh lebih tersusun.

Skuad lelaki kecundang 0-2 menerusi penentuan shootout kepada Indonesia selepas terikat 4-4 dan mengulangi episod duka dua tahun lalu di Kemboja apabila tewas kepada lawan sama.

Jelasnya, jurang persiapan yang ketara antara kedua-dua pasukan menjadi faktor pemisah di mana Indonesia telah memulakan langkah agresif sejak dua tahun lalu dengan siri jelajah Eropah, manakala skuad negara kurang mendapat pendedahan serupa.

“Kita perlu bangkit. Realitinya, selepas menang emas di Kemboja, mereka (Indonesia) buat persiapan rapi selama dua tahun termasuk jelajah Eropah. Perkara itu tidak berlaku dekat pasukan kita.

“Jadi saya harapkan Kementerian Belia dan Sukan melihat perkara ini dan wujudkan program yang lebih baik. Kita ada prospek dan pernah layak ke Piala Dunia, jadi tidak mustahil untuk kita kembali ke pentas dunia jika ada perancangan yang betul,” katanya.

Amin juga mahu pemainnya segera melupakan kekalahan itu kerana skuad negara berdepan misi lebih besar tahun depan iaitu Piala Asia yang menawarkan slot ke Piala Dunia selain misi wajib menebus maruah pada Sukan SEA Malaysia 2027.

“Kita tak nak kalah di halaman sendiri nanti (KL 2027). Pemain kena bangkit dan jika khidmat saya masih diperlukan, saya bersedia membantu pasukan,” tambahnya.

Sementara itu, skuad wanita dalam dewan yang turut meraih perak selepas tewas 3-4 kepada Thailand di pentas final turut menuntut persiapan lebih baik.

Ketua jurulatih wanita, Rodzhanizam Mat Radzi berharap perhatian terhadap hoki dalam dewan mendapat layanan sama seperti skuad hoki padang seperti Indonesia dan Thailand yang diberi program latihan tersusun sepanjang tahun termasuk berlatih di Eropah.

“Kami harap diberikan sama seperti hoki padang supaya kami boleh menjalani latihan lebih lama. Saya yakin jika perkara itu berlaku, tiada masalah untuk hoki dalam dewan mengatasi pasukan seperti Singapura, Thailand dan Indonesia,” katanya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |