BANGKOK – Kejayaan skuad hoki 5 sebelah (5s) lelaki negara menghadiahkan emas sulung Sukan SEA 2025 membuka mata pihak berkepentingan untuk memperkasakan pembangunan akar umbi bagi memastikan Malaysia tidak dipintas kuasa serantau pada masa depan.
Ketua jurulatih negara, Wan Roslan Wan Abdul Rahman berkata, kemenangan 7-3 menewaskan Indonesia pada aksi final di Royal Thai Air Force, Bangkok kelmarin harus dijadikan permulaan terbaik membina pasukan yang lebih lengkap.
Jelasnya, pendekatan Indonesia yang menjadikan kejayaan hoki dalam dewan sebagai asas untuk cemerlang dalam hoki 5s perlu diambil iktibar supaya Malaysia kekal relevan sebagai kuasa besar.
“Indonesia awal datang ke sini untuk dapatkan pingat emas. Disebabkan mereka sudah berjaya dalam acara hoki dalam dewan, jadi mereka gunakan formula sama untuk hoki 5s.
“Sebab itu mereka bermain habis-habisan dan kita tidak boleh leka. Kita adalah finalis Piala Dunia dan sekarang pemenang pingat emas Sukan SEA, jadi momentum ini perlu dijaga sebaiknya,” katanya.
Justeru, Wan Roslan menagih sokongan berterusan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) demi kesinambungan pasukan.
“Alhamdulillah pihak KBS ada memberi dana selepas kita berjaya di Piala Dunia. Kita harapkan kejayaan emas di Sukan SEA ini, barisan pengurusan yang afa dapat dikekalkan selain program akar umbi dipergiatkan,” katanya.
Pada aksi final kelmarin, skuad negara melakar sejarah muncul juara sulung hoki 5s yang kali pertama dipertandingkan, sekali gus menyumbang emas pertama buat kontinjen Malaysia di Thailand.
Impian Malaysia untuk menyapu bersih kedua-dua emas hoki 5s tidak kesampaian apabila skuad wanita terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tumpas 1-7 di tangan Thailand. – KOSMO! ONLINE

1 month ago
36







![[VIDEO] Pelajar IPT maut kemalangan tiga buah kenderaan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/01/WhatsApp-Image-2026-01-19-at-3.36.53-PM.jpeg)










![[VIDEO] ‘Nasib tak kena lempang dengan bomba’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/01/WhatsApp-Image-2026-01-19-at-10.52.09-AM.jpeg)






























