BANGKOK – Misi meningkatkan darjah kesukaran terjunan menjadi perancangan utama skuad negara yang kini sedang menempuh fasa peningkatan prestasi dalam usaha melahirkan lebih ramai penerjun bertaraf dunia setanding generasi emas terdahulu.
Pengurus pasukan, Desdemona Mollon berkata, majoriti atlet yang tampil pada Sukan SEA 2025 sedang melalui proses meningkatkan darjah kesukaran tinggi sebelum boleh mencabar sepenuhnya di pentas senior.
Pencapaian dua pingat emas kem terjun dalam edisi ke-33 ini menepati sasaran ditetapkan selain mengambil kira pengalaman atlet Singapura dan Thailand pernah beraksi di Sukan SEA.
Jelasnya, peminat sukan tanah air tidak seharusnya terlalu cepat menghukum barisan penerjun muda susulan kegagalan membolot kesemua pingat emas, sebaliknya perlu memahami proses pembangunan yang sedang giat dijalankan.
“Bagi penonton di luar sana, mungkin kurang faham mengenai proses menaikkan darjah kesukaran terjunan, jadi kita cuba mendidik supaya mereka tidak terlalu mengecam pasukan.
“Hanya Muhammad Syafiq Puteh berada dalam program senior dan mempunyai terjunan lengkap. Selebihnya atlet junior yang baru pulang daripada Kejohanan Remaja Dunia, jadi peralihan ke peringkat senior bukan mudah,” katanya.
Hanya dua daripada enam penerjun dibawa ke Thailand mempunyai pengalaman beraksi pada Sukan SEA iaitu Syafiq dan Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj.
Menurut Desdemona, barisan kejurulatihan mengambil pendekatan ‘selamat’ dalam latihan bagi mengelakkan kecederaan serius menimpa atlet pelapis yang menjadi pertaruhan utama negara ke Sukan SEA 2027 nanti.
“Tahun depan akan menjadi batu loncatan lebih besar. Kita akan ketatkan jadual dan wujudkan kelayakan baharu bagi memastikan kita memiliki kumpulan atlet benar-benar berkualiti. Senior atau junior, jika layak kita hantar. Saya jamin 2027 kita akan bersedia sepenuhnya,” katanya.
Kem terjun negara muncul juara keseluruhan acara itu dengan dua emas dan satu gangsa dalam aksi di Pusat Akuatik Universiti Assumption Suvarnabhumi, Samut Prakan.
Emas hadir menerusi gandingan Yong Rui Jie-Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim (3m papan anjal seirama lelaki) dan Eilisha-Nurul Farisya Alia Affendi (platform seirama wanita) sementara gangsa disumbangkan oleh Rui Jie dalam acara 1m papan anjal lelaki.

13 hours ago
5









![[VIDEO] Saya sedia ‘rematch’ – Yusuf Azmi](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/WhatsApp-Image-2025-12-21-at-1.51.56-PM.jpeg)







































