Sukan SEA: Elisha, Farisya tamat penantian terjun

11 hours ago 5

BANGKOK – Gandingan penerjun muda wanita negara, Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar-Nurul Farisya Alia Affendi menamatkan penantian Malaysia apabila menyumbangkan pingat emas pertama kem terjun negara pada temasya Sukan SEA 2025.

Kejayaan di Pusat Akuatik Universiti Suvarnabhumi itu hadir sebagai pengubat duka skuad terjun negara selepas rakan sepasukan lain gagal menuai emas sejak Rabu lalu.

Elisha mengakui kejayaan itu bukan mudah, apatah lagi mereka memikul beban harapan tinggi untuk menamatkan kemarau pingat emas negara.

“Kami rasa sangat bangga. Ia bukan satu perjuangan yang mudah untuk kami, tetapi kami bangga dengan diri sendiri.

“Memang agak tertekan selepas melihat rakan-rakan lain tidak dapat menyumbang emas dua hari sebelum ini, tetapi kami bernasib baik memiliki jurulatih seperti Ooi Zhi Liang.

“Dia (Zhi Liang) sangat positif, menyokong dan berjaya mengawal rasa gemuruh kami dan menaikkan semula semangat supaya tidak terlalu tertekan,” katanya.

Dalam aksi final itu, pasangan negara mempamerkan terjunan yang kemas dan konsisten untuk mengumpul 248.40 mata keseluruhan.

Aksi terbaik dimiliki gandingan Malaysia itu gagal dicabar pencabar terdekat dari Singapura, Ainslee Kwang dan Ryenne Cham yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas mengumpul 237.00 mata.

Gangsa menjadi milik pasangan Indonesia, Gladies Lariesa Garina dan Linar Betiliana dengan catatan 211.74 mata.

Satu-satunya sumbangan pingat hadir menerusi penerjun lelaki negara, Yong Rui Jie yang menghadiahkan pingat gangsa dalam acara 1m papan anjal individu lelaki pada Rabu.

Kejayaan emas itu sekurang-kurangnya ‘menyelamatkan’ maruah dan tradisi kem terjun negara selepas gagal mempertahankan rekod menyapu bersih semua pingat emas yang ditawarkan sejak edisi 2013 di Myanmar. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |