TAIPEI – Seorang pelancong Filipina cedera dilanggar kereta api semasa bergambar di atas landasan dan tidak menyedari tren tersebut menuju ke arahnya, lapor portal berita VNExpress kelmarin.
Polis Taiwan berkata, kemalangan berlaku di Jalan Lama Shifen yang merupakan destinasi pelancongan popular di timur Taipei.
Menurut portal berita Focus Taiwan, Jabatan Bomba New Taipei bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima laporan kemalangan itu.
Rakaman kamera pengawasan dari kedai berhampiran menunjukkan wanita itu meregangkan tangannya dan melangkah dekat landasan untuk bergambar dengan kereta api yang sedang bergerak.
Kereta api itu kemudian melanggar lengannya, menyebabkan dia terjatuh dan mengalami berbilang kecederaan, lapor akhbar The Straits Times.
Polis berkata, wanita itu menceroboh landasan kereta api yang merupakan satu kesalahan dan boleh didenda sehingga TWD$135,000 (RM18,000). – AGENSI