PETALING JAYA – Lelaki yang baru sahaja dalam bercerai dan sedang berada dalam tempoh idah boleh berkahwin dengan wanita lain pada bila-bila masa.
Peguam syarie, Syuhada Mzul berkata, bagaimanapun ia tertakluk kepada dua keadaan khusus dimana suami wajib menunggu isteri habis idah agar pernikahan barunya sah.
“Pertama, suami menceraikan isteri untuk berkahwin dengan saudara perempuan isteri. Wajib tunggu isteri habis idah, baru boleh nikah dengan adik, kakak atau ibu saudara isteri.
“Kedua, suami telah berkahwin empat, kemudian menceraikan salah seorang isteri untuk berkahwin yang kelima. Maka wajib tunggu isteri yang diceraikan habis idah,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Tambah Syuhada, di Malaysia, pejabat agama kebiasaannya akan semak status lelaki sekiranya dia ada isteri sedia ada (termasuk yang dalam idah raj‘ie) maka dia dikira masih dalam perkahwinan dan pernikahan tidak terbatal secara mutlak.
“Maka ‘bekas’ suami kena isi borang permohonan poligami, dapatkan kebenaran Mahkamah Syariah. Jadi secara undang-undang, boleh kahwin lain, tetapi mesti mengikut prosedur poligami jika bekas isteri masih dalam idah raj‘ie.
“Apa berlaku jika masih dalam idah rajie, suami tetap berkahwin lain senyap-senyap tanpa permohonan poligami? Boleh buat aduan di Pejabat Agama,” ujarnya.
Selain itu, Syuhada turut mengulas mengenai boleh atau tidak seorang isteri dalam idah dapat pusaka bekas suami.
Jelaanya, ia bergantung pada jenis perceraian ketika suami meninggal, sekiranya masih dalam idah talak raj‘ie (talak satu atau dua), masih boleh dapat pusaka.
Katanya, jika suami meninggal dalam tempoh idah, status isteri kembali menjadi isteri secara automatik.
“Idah bertukar kepada idah kematian empat bulan 10 hari. Katakan dah menjalani iddah sebulan, jadi idah cerai itu terhenti, sambung tempoh idah empat bulan 10 hari.
“Isteri berhak mendapat pusaka suami. Jika ada anak dapat 1/8, tiada anak 1/4 bahagian. Jika dalam iddah talak bain (tak boleh rujuk dalam tempoh idah), tidak boleh dapat pusaka.
“Talak bain termasuklah Talak tiga, fasakh, cerai taklik dan khulu’ (tebus talak). Dalam jenis cerai ini, hubungan suami isteri telah terputus sepenuhnya, jadi apabila suami meninggal isteri tidak kembali menjadi isteri,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

9 hours ago
5

















































