SEBERANG PERAI – Siapa sangka dalam keadaan usianya mencecah 90 tahun, seorang nenek yang dikenali sebagai Auntie Cha Moi sanggup tinggal dalam keadaan rumahnya yang serba kekurangan dan kedaifan.
Rumah kayu yang didiaminya di Kampung Baru Berapit, Bukit Mertajam kini ‘bagaikan retak menanti belah’ apabila sebahagian besar ruang kediamannya dilihat hampir menyembah bumi.
Namun, keperitan yang dihadapi Auntie Cha Moi selama ini akhirnya mendapat perhatian Ahli Parlimen Bukit Mertajam merangkap Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong, semalam.
Menerusi perkongsian di laman facebooknya, Steven berkata, Auntie Cha Moi tinggal di rumah yang didiami suami sejak 70 tahun lalu bersama seorang anak perempuannya berusia 57 tahun.
“Anaknya itu hanya sekadar buat kerja-kerja kampung. Anak-anak lain ada jaga mak mereka tapi mereka pun orang susah, masing-masing ada tanggungjawab keluarga. JKM ada bantu sedikit. Sekadar cukup-cukup makan.
“Suami Auntie Cha Moi sudah meninggal dunia 25 tahun lalu. Kini yang ada hanya kenangan hidup sebagai suami isteri. Hari ini, rumah itu sudah uzur dan hampir roboh, apatah lagi ketika hujan, air menitis jatuh ke tempat tidurnya,” katanya.
Tulisnya lagi, dalam usia sebegitu Auntie Cha Moi sepatutnya menikmati hari-hari yang tenang dan bahagia bersama anak-anak tercinta.
“Tapi, setiap malam Auntie terpaksa tidur bertemankan bunyi titisan air dari atap yang bocor, lantai yang retak dan dinding yang reput.
“Tiada kipas yang berfungsi, bilik air pun lantai licin dan tidak selamat, tiada ruang yang benar-benar selesa untuk seorang warga emas yang telah melalui begitu banyak liku kehidupan.
“Apabila saya menziarahi Auntie, hati saya rasa cukup sayu. Takpa, Steven janji, kita akan bina rumah baru, rumah yang selamat, rumah yang bermaruah. Kerana tiada siapa yang patut lalui usia senja dalam keadaan begini.
“Jangan risau Auntie, Tahun Baru Cina ini Steven pastikan Auntie sambut di rumah yang baru,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
2


![[VIDEO] Ramai rim pecah, tayar bocor lalu Jalan Taman Wangi, Gua Musang](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/RIM-PECAH-TULAR-VIRAL.jpeg)














































