SABAK BERNAM – Status MIC dalam Barisan Nasional (BN) dijangka diputuskan pada Januari tahun depan.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu akan dibincangkan pada Mesyuarat Dewan Tertinggi BN.
Tegasnya, perbincangan berhubung perkara itu tidak termasuk dalam agenda Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 yang dijadual berlangsung awal tahun depan.
“Ia tidak kena-mengena dengan PAU, kerana status UMNO dengan MIC sama saja di dalam Barisan Nasional. Jadi, kita akan ada Mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada Januari tahun hadapan dan ketika itu kita akan putuskan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meluncurkan Pakej Lengkap Desa Kirana di Sekinchan di sini, hari ini.
Terdahulu, Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Dr. Mohd. Zaidi Md. Zain, dilaporkan berkata, usul berkenaan dijangka dibawa pada PAU yang dijadual berlangsung pada Januari tahun hadapan.
Ia berikutan isu tersebut dianggap sebagai perkara baharu yang timbul selepas Mesyuarat Agung UMNO Bahagian selesai diadakan.
Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-79 sebelum ini memutuskan untuk menangguhkan keputusan sama ada parti itu akan keluar atau kekal dalam BN.
Namun, Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran berkata, ketiga-tiga usul termasuk keluar daripada BN telah diterima dan diserahkan kepada pimpinan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) untuk diteliti.
Dalam perkembangan berlainam, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menggesa perwakilan dari Sabah agar turun membantu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, yang tarikhnya bertindih dengan Perhimpunan Agung UMNO 2025.
Bagaimanapun, beliau berkata perwakilan yang telah membeli tiket dan membuat tempahan penginapan tidak dihalang untuk menghadiri perhimpunan tersebut.
“Bagi mereka yang tidak dapat datang, kita akan siarkan secara atas talian di semua 25 bahagian di negeri Sabah. Atau sekiranya, mereka memutuskan untuk berkumpul di satu tempat, umpamanya di Ibu Pejabat UMNO Sabah di Kota Kinabalu, ini akan lebih memudahkan untuk mereka mengikuti Persidangan Agung UMNO 2025 yang diadakan pada bulan Januari depan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
3

















































