Status dosa penzina setelah bertaubat

7 hours ago 4

SEKIRANYA seseorang berzina, namun perbuatannya itu tidak diketahui oleh sesiapa, adakah telah gugur dosanya dengan bertaubat tanpa menjalani sebarang hukuman?

JAWAPAN: ISLAM telah menetapkan pelbagai undang-undang, antaranya adalah hukuman hudud ke atas sesiapa sahaja yang cuba menggugat lima prinsip utama.

Hudud ialah hukuman yang telah ditetapkan kadarnya oleh syarak. Hukuman ini tidak boleh ditambah atau dikurangkan. Ia melibatkan enam jenis jenayah iaitu zina, tuduhan zina, mencuri, meminum minuman yang memabukkan, merompak (hirabah) dan murtad. (Rujuk: Al-Tasyri’ al-Jina’iy al-Islami, 1/79).

Justeru zina termasuk dalam hukuman hudud yang diwajibkan ke atas penzina.

Hukuman kepada penzina terbahagi kepada muhsan dan bukan muhsan. Muhsan bererti lelaki atau perempuan itu telah berkahwin atau pernah berkahwin dengan akad yang sah dan telah melakukan persetubuhan, manakala bukan muhsan iaitu lelaki atau perempuan yang belum pernah berkahwin. (Rujuk: Al-Tasyri’ al-Jina’iy al-Islami, 2/322).

Bagi penzina yang memenuhi ciri-ciri muhsan iaitu baligh, berakal, merdeka dan pernah bersetubuh dalam akad nikah yang sah, maka dia tertakluk kepada hukuman penzina muhsan iaitu direjam dengan batu hingga mati. (Rujuk: Al-Tasyri’ al-Jina’iy al-Islami, 2/322-324)

Hukuman ini disahkan melalui ucapan dan tindakan Rasulullah SAW. Malah, hukuman ini juga telah dinyatakan di dalam al-Quran dan kemudian ayat ini dimansuhkan bacaannya.

Sekiranya seseorang berzina dan dia bukan muhsan, dia akan dihukum dengan 100 kali sebatan dan dibuang negeri selama setahun.

Hukuman 100 kali sebatan telah dinyatakan di dalam al-Quran sebagaimana firman Allah S.W.T: “Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang daripada kedua-duanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap kedua-duanya dalam menjalankan hukum Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman yang dikenakan ke atas mereka itu oleh sekumpulan daripada orang-orang yang beriman.” (Surah Al-Nur, 2)

Namun begitu timbul persoalan adakah gugur hukuman zina bagi penzina yang sudah bertaubat?

Pendapat pertama: Tidak gugur hukuman zina walaupun setelah bertaubat sama ada sebelum atau selepas hukuman itu diadukan kepada hakim. Ini adalah pandangan ulama mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’i, Zahiri dan sebahagian ulama mazhab Hambali. (Rujuk: Al-Bada’ie Al-Sanaie’, 96/7; Al-Mughni, 296/8; Rad Al-Muhtar, 154/3; Mughni Al-Muhtaj 184/4).

Pendapat kedua: Gugur hukuman zina setelah bertaubat selagi mana hukuman tersebut tidak diadukan kepada hakim. Ada pun setelah hukuman itu telah diadukan kepada hakim, maka hukuman tersebut tidak boleh digugurkan lagi. Ini adalah pandangan yang terpilih di sisi mazhab Hambali dan pandangan sebahagian ulama Hanafi, Maliki dan Syafi’i. Ini juga adalah pandangan Shaikh Ali Jum’ah. (Rujuk: Al-Mughni, 296/8; Rad Al-Muhtar, 154/3; Mughni Al-Muhtaj, 184/4).

Tuntasnya, para ulama bersepakat bahawa hukuman ke atas penzina yang sudah bertaubat gugur selagi mana perbuatan tersebut tidak diadukan kepada hakim. Justeru, perbuatan yang lalu itu termasuk dalam perkara yang disembunyikan aibnya oleh Allah.

Ini menunjukkan bahawa Allah masih memberi peluang untuk bertaubat kerana pintu taubat sentiasa terbuka. Maka hendaklah pelakunya itu segera bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat dan berjanji tidak akan mengulangi dosa tersebut lagi.

Read Entire Article
Pertanian | | | |