PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneruskan peranannya sebagai peneraju dalam usaha memerangi rasuah di rantau ini apabila mengetuai Mesyuarat Negara-Negara ASEAN Menentang Rasuah ke-21 (ASEAN-PAC) yang berlangsung di Sunway Resort Hotel, di sini hari ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, mesyuarat selama tiga hari itu bukan sahaja memberi tumpuan kepada isu penguatkuasaan, tetapi turut menekankan aspek tadbir urus dan pematuhan sebagai teras utama dalam membanteras rasuah.
Menurutnya, mesyuarat itu menampilkan pakar sektor swasta yang akan berkongsi pandangan serta pengalaman tentang peranan besar sektor berkenaan dalam membantu kerajaan membanteras rasuah. “Apabila sesebuah negara semakin membangun, seperti di Hong Kong, sektor swasta memainkan peranan penting membantu sektor awam membanteras rasuah,” katanya pada sidang akhbar di Sunway Resort Hotel, di sini hari ini.
Jelas beliau, antara faktor yang menyebabkan penurunan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) adalah persepsi negatif segelintir entiti perniagaan terhadap sektor awam, disebabkan kurangnya kefahaman tentang undang-undang dan sistem tadbir urus kerajaan.
“Apabila mereka berdepan kesukaran berurusan dengan sektor awam, persepsi negatif itu mudah timbul dan dikaitkan dengan rasuah, sedangkan kadangkala ia hanyalah isu tadbir urus,” katanya.
Azam berkata, SPRM kini menerajui beberapa kumpulan fokus bagi meningkatkan kefahaman sektor swasta terhadap persekitaran perniagaan dan sektor awam serta membantu kerajaan menambah baik sistem tadbir urus negara.
Beliau berkata, dalam menuju status negara berpendapatan tinggi menjelang 2030, Malaysia perlu memberi tumpuan bukan sahaja kepada penguatkuasaan, tetapi juga kepada pembaharuan undang-undang serta peningkatan tadbir urus.
Tambahnya, mesyuarat ASEAN-PAC kali ini turut disertai pakar antarabangsa dan 11 negara ASEAN bagi membentangkan pelan tindakan serta berkongsi pengalaman masing-masing.
“Sebagai pengerusi ASEAN-PAC sehingga tahun 2026, Malaysia bertanggungjawab memastikan semua negara anggota mempunyai pemikiran yang sama bahawa tadbir urus dan pematuhan adalah isu utama selain pengoperasian,” katanya. – KOSMO! ONLINE

13 hours ago
5






![[VIDEO] ‘Warden askar ada, hantu pun takut’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/Tangkap-layar-video-MRSM-Balik-Pulau-yang-inginkan-program-warden-bekas-tentera-diteruskan.jpeg)










































