Skuad kuadran sapu bersih kemenangan peringkat kumpulan

21 hours ago 9

KUALA LUMPUR – Pasukan kuadran sepak takraw negara membuktikan persiapan mereka untuk menghadapi Piala Asia 2025 benar-benar baik selepas muncul juara Kumpulan B sejurus menewaskan Jepun menerusi kemenangan straigh set 17-15, 15-10 (2-0) di Stadium Titiwangsa, hari ini.

Dalam perlawanan tersebut, Malaysia menurunkan barisan terbaik mereka yang dibarisi Amirul Zazwan Amir, Muhammad Norfaizzul Abd Razak, Muhammad Shahalril Aiman Halim dan Muhammad Fetri Mohd Azwawi untuk menewaskan Jepun.

Kemenangan 2-0 ke atas Jepun memastikan Malaysia muncul selaku juara Kumpulan B dan manakala Jepun terpaksa berpuas hati di tempat kedua selaku naib juara kumpulan.

Malaysia bakal berdepan cabaran lebih getir di separuh akhir apabila dijadual bertemu naib juara Kumpulan A  sama ada Vietnam atau Korea Selatan yang bakal melengkapkan aksi terakhir kumpulan malam ini

Menurut Amirul Zazwan kemenangan pada hari ini banyak dipengaruhi oleh peningkatan komunikasi dan keserasian dalam pasukan selepas aksi pertama yang kurang meyakinkan.

“Perlawanan hari ini nampak lebih bersahaja, lebih tenang. Semalam masa lawan China saya sendiri rasa tak puas hati, tapi masa lawan Filipina kita dah dapat rentak dan keserasian.

“Saya pesan pada kawan-kawan, jangan selesa. Fokus satu-satu. Komunikasi sangat baik, kita banyak berbincang macam-macam cara nak menang dan Alhamdulillah hari ini berhasil.

“Mana-mana pasukan pun di separuh akhir, kita kena bersedia. Itu risiko sebagai atlet dan saya yakin kita boleh menang esok. Terima kasih kepada semua penyokong, sokongan padu memang bakar semangat kami dalam game tadi. Kami tak nak kecewakan peminat,” katanya.

Sebelum ini, Malaysia membuka kempen Kumpulan B dengan langkah kanan apabila menewaskan China 2-0 dan Filipina dalam aksi sengit dengan keputusan 2-1. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |