BANGKOK – Hasrat skuad hoki dalam dewan lelaki dan wanita negara untuk menjelmakan pingat emas buat kontinjen Malaysia di Sukan SEA Thailand 2025 tidak kesampaian apabila kedua-duanya tumbang di pentas final, hari ini.
Skuad lelaki yang mahu menebus kekecewaan dua tahun di Kemboja sekali lagi tidak berhasil apabila tewas kepada Indonesia 0-2 menerusi penalti shoot-out selepas terikat 4-4 pada masa sebenar.
Kekalahan itu mengulangi episod duka dua tahun lalu apabila skuad negara turut tewas menerusi penentuan penalti kepada Indonesia yang ketika itu dibimbing bekas ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah.
Kali ini juga Indonesia di bawah kendalian Dharma terus menjadi penghalang utama skuad negara untuk meraih emas.
Bukan mahu memberi alasan, namun kapten skuad negara, Muhammad Najmi Farizal Jazlan berkata, keputusan berat sebelah pengadil perlawanan dari kazakhstan, Urmanov Daulet adalah antara punca kekalahan skuad negara.
“Bagi saya kami bermain enam lawan lapan, bukan kami main enam lawan enam sebab keputusan yang dilakukan oleh pengadil dari Kazakhstan sentiasa menyebelahi lawan.
“Memang kami rasa pengadil sangat teruk sebab benda yang tak sepatutnya pun dia boleh tiup (wisel).
“Jadi seperti saya katakan tadi kami bukan main enam lawan enam, kami main enam lawan lapan lah tadi. Pengadil dari Kazakhstan itu macam ada isu peribadi dengan kami,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Nasib sama turut menimpa skuad hoki dalam dewan wanita negara apabila tewas 3-4 kepada tuan rumah dalam perlawanan akhir itu dan terpaksa akur membawa pulang pingat perak sekali gus menyamai pencapaian dua tahun lalu.
Thailand terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Wilawan Duangwao pada minit ke-8.
Malaysia bagaimanapun tidak menunggu lama untuk bangkit apabila Raja Norsharina Raja Shabuddin menyamakan kedudukan seminit kemudian bagi menghidupkan kembali peluang skuad negara sebelum Nor Asfarina Isahiyifiqa Isahhidun meledak gol pada minit ke-19 untuk menjadikan kedudukan 2-1
Tuan rumah bangkit menjaringkan tiga gol selepas itu menerusi Jiratchaya Todkaew (m-25), Tikhamporn Sakulpithal (m-34), Jiratchaya Todkaew (m-36).
Nor Asfarina merapatkan jurang minit ke-39, namun segala-galanya sudah terlambat untuk skuad negara. -KOSMO! SUKAN

8 hours ago
6




![[VIDEO] Enam tahun berjuang di hutan belantara, Cikgu Zul akhirnya pergi jua](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/SK-POS-BALAR.jpeg)









![[VIDEO] Berkali-kali salam guru, sebak hari terakhir persekolahan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/tular-viral-murid-ppki.jpeg)


































