Siti Saleha dilantik Profesor Adjung Taylor’s University

21 hours ago 5

PETALING JAYA – Pelakon Siti Saleha menyifatkan pelantikan sebagai Profesor Adjung bagi program Sarjana Muda Seni Persembahan di Taylor’s University sebagai lembaran baharu dalam kehidupannya.

Siti Saleha atau nama lengkapnya Siti Saleha Mohd. Baharum, 35, berkata, teruja menggalas tanggungjawab yang diamanahkan selain bersedia menyumbang ilmu dan pengalaman di arena seni.

“Terima kasih, Taylor’s Performing Arts atas penghormatan luar biasa ini. Saya benar-benar berasa rendah diri dan teruja untuk memulakan babak baru sebagai Profesor Adjung,” katanya dalam komen di hantaran Instagram Taylor’s University.

Pusat pengajian tinggi itu mengumumkan pelantikan aktres terbabit sebagai Profesor Adjung menerusi laman sosial rasmi pihak berkenaan.

Akui Siti Saleha lagi, dia berharap
amanah tersebut menjadi medan untuk saling berkongsi, belajar dan berkembang bersama pelajar serta akademık.

“Amat bermakna untuk dapat berkongsi, belajar, dan berkembang bersama minda-minda yang begitu menginspirasikan.

“Mari kita bentuk pelbagai cerita yang melangkaui sempadan bilik kuliah!” ujarnya dengan penuh semangat.

Sementara itu, Taylor’s University berharap kehadiran selebriti itu mampu menyuntik semangat baharu pelajar yang mengambil jurusan seni di pusat pengajian terbabit.

“Kami ingin mengalu-alukan pelakon
Malaysia yang juga pemenang anugerah, Siti Saleha selaku Profesor Adjung kami.

“Berbekalkan pengalaman dalam industri televisyen dan perfileman, beliau bakal berkongsi pandangan serta menyuntik inspirasi untuk program Sarjana Muda Seni Persembahan.

“Selamat datang, Profesor Adjung Siti Saleha!” tulis kenyataan tersebut.

Antara selebriti lain yang sebelum ini pernah meraih gelaran akademik itu di institusi pengajian lain ialah Bront Palarae, Datuk Aznil Nawawi, Datuk Rizalman Ibrahim, Datuk Ras Adiba Radzi dan Datuk Cef Wan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |