Sita wang simpanan bekas suami culas bayar nafkah

8 hours ago 6

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mengusahakan langkah untuk menyita simpanan kewangan bekas suami yang culas membayar nafkah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, perkara itu diusahakan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.

“BSK telah mengadakan perbincangan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membolehkan pelaksanaan langkah itu menerusi perintah Mahkamah Syariah,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr. Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) berhubung mekanisme kerajaan dalam memastikan pelaksanaan sekatan akaun bank terhadap bekas suami atau bapa yang culas menunaikan nafkah.

Selain itu, Mohd Na’im berkata, kerajaan juga sedang memperkukuhkan tindakan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah berhubung isu tersebut melalui pelbagai kaedah undang-undang lain.

Kata beliau, BSK juga sedang melaksanakan usaha memberi kesedaran kepada para penanggung nafkah anak-anak dalam kalangan waris.

Jelas beliau, waris termasuk suami atau bapa sebagaimana yang ditetapkan undang-undang dan hukum syarak bagi memastikan mereka melaksanakan tanggungjawab.

Tambah beliau, penguatkuasaan diperkukuh melalui kerjasama agensi kerajaan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Pengangkutan Jalan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Pertubuhan Keselamatan Sosial dan Jabatan Pendaftaran Negara.

“Pendekatan seperti pendahuluan nafkah, bantuan tanpa kutipan balik, kemudahan transit serta penguatkuasaan tegas memastikan kebajikan pemiutang penghakiman dapat dipelihara,” katanya.

Kata beliau, langkah jangka panjang itu akan memperkukuh sistem kehakiman syariah demi menjaga hak wanita, anak-anak dan kesejahteraan institusi kekeluargaan Islam. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |