PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengiktiraf komitmen tinggi dan disiplin luar biasa yang menjadi kekuatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selama ini.
Menerusi hantaran Facebook sempena Hari Bomba Sedunia 2025 pada hari ini, beliau merakamkan setinggi penghargaan kepada seluruh warga JBPM serta para perwira yang tidak mengenal siang dan malam dalam menjalankan amanah mereka.
“Setiap kali siren kecemasan berbunyi, para anggota bomba tidak pernah bertanya siapa yang harus diselamatkan.
“Mereka terus mara, berdepan api, banjir, runtuhan dan pelbagai tragedi demi satu tujuan iaitu menyelamatkan nyawa dan harta benda rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih di atas setiap pengorbanan, keberanian dan semangat waja ditunjukkan oleh warga JBPM saban waktu.
“Semoga seluruh warga bomba terus diberi kekuatan dan perlindungan dalam menjalankan tugas yang mulia ini. Insya-Allah, selamat Hari Bomba Sedunia 2025,” katanya. – KOSMO! ONLINE