KUALA LUMPUR – Kegiatan sindiket pengedaran dadah menjadikan rumah inap desa sebagai stor penyimpanan dadah terbongkar selepas enam individu ditahan menerusi serbuan berasingan di sekitar ibu negara, 10 April lalu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, dua serbuan pertama dijalankan di tepi Jalan Tun Razak dan Jalan Ipoh bermula pukul 3.40 petang hingga 7.30 malam susulan maklumat awam.
Menurutnya, tangkapan itu membawa kepada dua lagi serbuan melibatkan kondominium di sekitar Jalan Chan Sow Lin dan Jalan Tun Razak yang digunakan sebagai stor penyimpanan dadah.
“Dipercayai sindiket menyewa rumah inap desa sekitar RM200 sehari. Kita mendapati sebahagian suspek berperanan sebagai penjaga stor manakala selebihnya mengedar.
“Suspek terdiri daripada lima lelaki tempatan dan seorang wanita warga Thailand,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, di sini hari ini.
Mohamad Lazim berkata, hasil serbuan, pihaknya berjaya merampas pelbagai jenis dadah dengan anggaran keseluruhan sebanyak 2.03 kilogram (kg) bernilai RM354,395.
“Antara dadah yang dirampas adalah kokain bernilai RM342,800 dengan anggaran berat 1.714 kilogram (kg). Dadah ini dipercayai didapati dari luar negara dan dijual pada harga RM300 hingga RM400 untuk satu gram.
“Selain itu, polis turut menjumpai ganja seberat 279 gram bernilai RM8,370, 11.14 gram methamphetamine (RM1,225) serta 27.29 gram erimin 5 berjumlah RM2,000,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohamad Lazim berkata, ujian saringan air kencing ke atas kesemua suspek berusia dalam lingkungan 26 hingga 53 tahun didapati positif dadah.
Katanya, pemeriksaan turut mendapati empat daripada enam suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
“Kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 17 April bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39A(1) dan 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE