SETIAP kali memasuki simpang ke Kampung Melayu di Kluang, Johor pasti akan terlihat sebuah binaan menggunakan kabin terpakai yang dijadikan sebagai premis menjual makanan.
Terletak hanya lima minit perjalanan dari pusat bandar, restoran yang diberi nama The Queen Cabin itu tampil dengan konsep yang unik dengan binaan kabin terpakai.
Menurut pemilik restoran itu, Muhammad Fadhil Abd. Ghani, 32, premis makanan tersebut telah beroperasi sejak tiga tahun lalu dan diusahakan bersama isterinya, Rosmala Kamal, 41.
“Antara hidangan popular yang menjadi pilihan pelanggan ialah talam seafood dengan harga sangat berpatutan.
“Di dalamnya terhidang makanan terdiri daripada ikan siakap, kupang, kerang, udang dan tomyam.
“Untuk menu masakan ikan siakap, ia bergantung kepada pilihan pelanggan sama ada mahu makan tiga rasa, bakar ataupun masam manis.
“Bagi kupang dan kerang pula dimasak sambal atau lada hitam manakala udang digoreng tepung serta tomyam campur,” katanya kepada CitaRasa.
Terangnya, set talam seafood yang dihidangkan bersama nasi putih itu boleh dinikmati seramai empat orang dan menjadi hidangan pilihan seisi keluarga yang berkunjung ke premis tersebut.
Ujarnya, The Queen Cabin yang beroperasi bermula 5 petang hingga 12 tengah malam itu menjadi lokasi pilihan keluarga untuk menikmati pelbagai juadah pada harga berpatutan.
Muhammad Fadhil berkata, sebelum berpindah ke lokasi sekarang, mereka sebelum ini menjalankan perniagaan makanan di Bungalow Kitchen di Kampung Melayu dengan menjual hidangan masakan yang sama.
“Melihat kepada set talam seafood ini, ia sememangnya berbeza dengan penyediaan menu berasaskan makanan laut lain seperti shell out yang dihidangkan tanpa kuah seperti tomyam.
“Oleh itu, secara tidak langsung membolehkan pelanggan yang datang membuat pilihan sama ada mahu makan secara berkuah atau sebaliknya,” katanya.
Selain set talam seafood yang menjadi hidangan signatur, pelanggan juga boleh menikmati juadah lain seperti nasi goreng kampung tiga janda yang dihidangkan bersama tiga ekor udang goreng tepung.
Di samping itu, juga mendapat permintaan ramai iaitu nasi goreng Pulau Pandan. Nasi goreng ini dibalut dengan telur dan dibanjiri dengan kuah seafood.
Pengunjung juga boleh menikmati pelbagai hidangan lain yang disediakan di The Queen Cabin seperti mi rebus daging atau ayam, mi rebus lamb shank dan mi rebus gearbox. Turut disediakan juga aneka hidangan Barat seperti lamb chop, chicken chop, pasta, smash burger, karbonara dan lain-lain.