PHNOM PENH – Thailand terus menghujani Kemboja dengan bom dan peluru artileri ketika pertempuran yang semakin merebak memasuki hari ke-11 semalam, lapor akhbar Khmer Times.
Serangan Thailand turut menyasarkan bandar, kampung serta infrastruktur awam. Bedilan tentera Thai menyebabkan sekurang-kurangnya 17 orang awam terkorban, 77 cedera dan lebih 447,000 lagi hilang tempat tinggal di lapan wilayah.
Setakat pukul 12.30 tengah hari (waktu tempatan) semalam, sejumlah 134,668 keluarga atau 447,509 orang hilang tempat tinggal akibat pencerobohan tentera Thailand yang semakin sengit.
Dalam ucapan kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), utusan Kemboja ke PBB, Keo Chhea berkata, serangan udara Thailand yang menembusi jauh ke dalam wilayah Kemboja merupakan pencerobohan terang-terangan dan bukan bersifat mempertahankan diri.
Beliau memberi amaran, sikap berdiam diri masyarakat antarabangsa berisiko menjadikan penggunaan kekerasan melampau norma yang diterima.
Menteri Penerangan Kemboja, Neth Pheaktra pula berkata, tindakan Thailand adalah tindakan perang dan bukannya mempertahankan diri seperti didakwa oleh pemimpin serta pegawai Bangkok.
Menurutnya, pasukan Thailand bukan sahaja menyerang tentera Kemboja yang mempertahankan kedaulatan dan integriti wilayah negara, malah sengaja menyasarkan orang awam serta infrastruktur.
Neth juga menuduh Thailand cuba mengelirukan masyarakat antarabangsa dengan menyalahkan Kemboja berhubung konflik terbaru kedua-dua negara.
“Kini jelas kepada dunia Thailand memulakan serangan ini dan melancarkan perang pencerobohan untuk mengalihkan perhatian daripada krisis politik dalamannya,” kata Neth. – AGENSI

6 hours ago
4

![[VIDEO] 10 jam tunggu keluar KLIA, pasport tertinggal dalam pesawat](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/WhatsApp-Image-2025-12-18-at-6.16.31-PM.jpeg)















































