MELAKA – Identiti seorang lagi penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima yang maut dalam nahas di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara) malam tadi dikenali sebagai Fauziah Jaafar, 69.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, mangsa merupakan ibu kepada penumpang wanita, Fadzlenna Ramli, 32, yang juga maut dalam nahas kira-kira pukul 8.45 malam itu.
Katanya, setakat ini kesemua identiti lima penumpang MPV yang meninggal dunia di lokasi telah dikenal pasti.
“Mangsa yang maut adalah Khairul Izwan Mazupi, 32, dan isterinya Fadzlenna serta anak mereka, Muhammad Umar, 2. Dua lagi mangsa adalah ibu dan bapa kepada Fadzlenna iaitu Ramli Ab. Wahab, 66 dan Fauziah.
“Dua penumpang yang merupakan anak pasangan itu dikenali sebagai Muhammad Uwais Al-Qarni, 7, serta Nur Sofea Humaira, 4, terselamat, namun salah seorang daripadanya mengalami kecederaan parah dan dirawat di zon merah Hospital Melaka,” katanya kepada pemberita.
Tambahnya, terdapat seorang lagi penumpang kanak-kanak yang terselamat di dalam MPV tersebut, namun identitinya sedang dikenal pasti.
“Kita juga telah mengenal pasti identiti seorang penumpang bas yang maut iaitu Lamrah Asid Ali, 66, yang merupakan warga Singapura.
Terdahulu, Kosmo! hari ini melaporkan seramai tujuh individu maut, manakala 33 lagi cedera dalam nahas membabitkan lima buah kenderaan di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara) malam tadi.
Nahas tersebut dipercayai berpunca daripada tayar sebuah lori yang tercabut di lorong tengah lebuh raya menyebabkan sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang dari arah utara ke selatan gagal mengelak dan terbabas masuk ke laluan bertentangan.
Ashari berkata, bas tersebut kemudian telah melanggar sebuah Perodua Bezza sebelum bertembung dengan treler serta MPV Toyota Estima dinaiki lapan sekeluarga. – KOSMO! ONLINE