PETALING JAYA – Siapa sangka, hanya empat hari selepas isteri meninggal dunia akibat kemalangan kenderaan, suaminya pula dilaporkan turut menghembuskan nafas terakhir, awal pagi tadi.
Lebih terkilan, Allahyarham Nur Ihsan Nordin, 33, sempat makan dan tidur bersama dua anak perempuannya masing-masing berusia enam dan empat tahun setelah dibenarkan keluar hospital pada malam tadi.
Menurut ibu saudara, Wan Samira Wan Husin, 37, pemergian Allahyarham tidak disangka oleh seluruh keluarga disebabkan Nur Ihsan hanya mengalami kecederaan pada tulang pinggul.
“Malam tadi lepas keluar hospital, Ise (Nur Ihsan) tidak menunjukkan tanda-tanda ingin ‘pergi’, sebab dia pun bila jumpa anak-anak seakan cuba untuk kuat walaupun isterinya telah tiada.
“Ise sempat makan dengan anak, duduk beriba, baring atas katil dengan anak-anak. Subuh tadi, bapanya mendapati Allahyarham sudah pergi buat selama-lamanya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Wan Samira berkata, pemergian anak saudara dan isterinya merupakan ujian berat buat mereka sekeluarga kerana kedua-duanya disifatkan seorang yang sangat baik.
Bercerita lanjut, Wan Samira berkata ketika kejadian kemalangan pada pukul 11 malam Ahad lalu, anak saudaranya sekeluarga sedang dalam perjalanan pulang ke kampung yang terletak di Alor Pasir Mas, Kelantan.
Katanya, Nur Ihsan sekeluarga dalam perjalanan dari kediaman mereka di Klang, Selangor sempena cuti panjang Deepavali.
Wam Samira berkata, isteri Nur Ihsan, Wan Farahana, 34, maut di tempat kejadian apabila kereta jenis Toyota Vios dinaiki mereka terbabas melanggar Proton Exora.
Lebih menyayat hati, hasil bedah siasat mendapati Wan Farahana sedang berada di awal usia kandungan anak ketiga.
“Kami tidak tahu Farah sedang mengandung, awal minggu lagi. Lepas bedah siasat baru tahu Farhana sedang mengandung,” katanya.
Sementara itu, Wan Samira berkata, dua anak Nur Ihsan mula mencari ibu bapa mereka selepas mula merindui kehadiran kedua-duanya.
“Tengah-tengah malam dua beradik sembang berdua sambil kata ‘ibu kita dekat syurga dah kan’. Kadang-kadang mereka mencari mungkin sebab terlalu rindu.
“Sekarang kedua-dua anak Nur Ihsan sedang dalam jagaan datuk dan neneknya. Mungkin mereka berdua pun tak faham sepenuhnya lagi yang ibu bapa mereka sudah tiada,” katanya.
Sementara itu, di akaun TikTok Wan Farahana, Allahyarham sempat memuat naik video berpegang tangan dengan suaminya.
Dalam video berkenaan, Allahyarham dilihat menyifatkan suaminya sebagai satu-satunya cinta dalam hidupnya dan berharap agar mereka dapat hidup bersama hingga ke akhir hayat.
“Hanyalah dirimu, teman sehidup dan semati,” tulis Allahyarham Wan Farahana. – KOSMO! ONLINE