Seludup dadah guna bot nelayan, 3 taktik penyeludupan dibongkar

2 hours ago 1

KUALA LUMPUR – Polis berjaya mengesan sindiket pengedaran dadah yang menggunakan bot nelayan untuk belayar ke laut dalam bagi mengambil bekalan dadah daripada kapal induk sebelum dibawa masuk ke perairan Malaysia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, taktik itu dikenal pasti sebagai antara tiga modus operandi utama sindiket dadah antarabangsa yang kini aktif menyeludup dadah masuk dan keluar negara.

Menurut beliau, modus operandi pertama melibatkan transit di perairan laut dalam, di mana sindiket menggunakan bot nelayan sebagai penyamaran untuk mengambil bekalan dadah daripada kapal induk di tengah laut sebelum dihantar ke pasaran sasaran.
“Kejayaan membongkar taktik ini dapat dilihat menerusi Op Gombe pada 23 April lalu, hasil risikan penyeludupan dadah dari kawasan ‘Golden Triangle’ ke Australia melalui laluan laut sekitar perairan Terengganu,” katanya pada sidang akhbar berhubung kejayaan Op Gaharu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam operasi itu beliau berkata, polis berjaya menahan dua lelaki tempatan serta merampas 590 kilogram (kg) methamphetamine dan heroin base bernilai RM24.9 juta.

Mengulas lanjut, Hussein berkata modus operandi kedua ialah penggunaan ‘drug mules’ atau keldai dadah yang direkrut melalui media sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram serta aplikasi komunikasi termasuk WhatsApp, Telegram dan WeChat.

“Individu terbabit dijanjikan pakej percutian percuma atau tawaran gaji lumayan, namun hakikatnya mereka dijadikan keldai dadah.

“Antara taktik yang digunakan termasuk menyembunyikan dadah pada badan (bodypack), menelan ketulan dadah, menyimpan dadah dalam bagasi atau ruang rahsia serta melakukan perjalanan transit ke negara ketiga sebelum membawa dadah ke destinasi akhir,” ujarnya.

Sementara itu Hussien memaklumkan, modus operandi ketiga melibatkan penyalahgunaan perkhidmatan kontena, di mana sindiket mengisytiharkan barangan sah dalam dokumen kastam, tetapi sebenarnya menyeludup dadah dalam kuantiti besar.

“Kejayaan membongkar taktik ini dibuktikan melalui Op Borzoi pada 25 Januari lalu hasil kerjasama JSJN dan Australian Federal Police (AFP), apabila 33,200 kg methamphetamine bernilai RM1.06 bilion untuk pasaran Sydney berjaya dirampas,” katanya.

Selain itu, Hussein berkata Op Virola pada 7 November lalu turut membuahkan hasil apabila JSJN dengan kerjasama AFP berjaya mengesan penyeludupan methamphetamine dari negara Timur Tengah yang transit di Pelabuhan Klang.

“Dalam operasi itu, sebanyak 45 kg methamphetamine bernilai RM1.44 juta berjaya dirampas,” jelasnya.

Tegas beliau, walau apa jua modus operandi yang digunakan oleh sindiket, pihaknya akan terus memperkukuh risikan komprehensif dan kerjasama antarabangsa bagi membanteras penyeludupan dadah. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |