PETALING JAYA – Budaya menikmati kopi kini bukan lagi sekadar trend, tetapi telah menjadi sebahagian daripada gaya hidup masyarakat di negara ini, khususnya di Selangor.
Minat terhadap kopi tempatan semakin berkembang bukan sahaja dalam kalangan rakyat tempatan, malah turut menarik perhatian pelancong dari luar negara.
Bagi memperkenalkan serta meraikan keunikan kopi tempatan Selangor, Kerajaan Negeri Selangor melalui Tourism Selangor buat julung kalinya menganjurkan Festival Kopi Selangor (SELCOFF) 2025, selama tiga hari bermula semalam hingga Ahad, bertempat di The Curve, Damansara dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.
Penganjuran SELCOFF 2025 menghimpunkan lebih daripada 30 jenama dan pengusaha kopi tempatan dari kesemua sembilan daerah di Selangor, selain penyertaan pemain antarabangsa dari Vietnam, Indonesia, Singapura dan beberapa negara serantau lain.
Festival ini menyasarkan kehadiran lebih 30,000 pengunjung merangkumi komuniti pencinta kopi, penggiat industri makanan dan minuman (F&B), barista profesional, usahawan muda serta pelancong tempatan dan antarabangsa.
Ia turut menjadi platform untuk perkongsian ilmu, teknologi dan teknik penyediaan kopi terkini dalam kalangan komuniti kopi serantau.
Dalam masa sama, SELCOFF 2025 turut diselaraskan dengan aspirasi Tahun Melawat Selangor 2025 di bawah tema Selangor Kan Ada, yang memberi penekanan terhadap pelancongan gaya hidup, gastronomi serta acara bertaraf antarabangsa.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling, acara berkenaan bukan sekadar meraikan budaya kopi, tetapi juga menjadi ruang penting untuk peniaga, pengusaha kafe, pembekal biji kopi, barista serta komuniti kopi meneliti perkembangan terkini dalam teknologi, inovasi dan trend global industri ini.
“SELCOFF 2025 akan menjadi pentas utama bagi memperkenalkan jenama kopi tempatan kepada pasaran serantau dan global, di samping mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai hab kopi dan destinasi pelancongan gaya hidup utama di Malaysia dan Asia Tenggara,” katanya.
Aktiviti interaktif
Antara acara menarik sepanjang festival tersebut termasuk pameran kopi, pertandingan barista, bengkel dan forum industri, serta aktiviti interaktif untuk pengunjung.
Pengurus Jabatan Acara Tourism Selangor, Faroul Mustaffa berkata, kemuncak festival berkenaan ialah ASEAN Barista Championships yang diadakan pada Ahad, mempertemukan barista terbaik Asia Tenggara dalam saingan serantau yang memberi peluang kepada barista tempatan menimba pengalaman dan ilmu daripada pakar kopi antarabangsa.
Jelasnya, pertandingan lain yang turut dianjurkan ialah SELCOFF Latte Art Throwdown pada Sabtu (hari ini) dan SELCOFF Aeropress Challenge pada Ahad.

“Selain jualan produk kopi tempatan, pengunjung juga boleh menyertai bengkel penyediaan kopi (brewing workshop), pertandingan barista, sesi rasa kopi (coffee tasting) serta aktiviti seni dan muzik bertemakan kopi.
“Melangkaui aktiviti berkaitan kopi, pengunjung turut berpeluang menikmati pelbagai aktiviti dan hiburan sepanjang festival berlangsung.
“Antara tarikan utama termasuk konsert pada sebelah malam Sabtu dan Ahad, menampilkan barisan artis popular seperti Aizat Amdan, Bunga Isme dan Tam Spider yang bakal menghidupkan suasana dengan persembahan muzik menarik.
“Festival ini turut menyediakan gelanggang pickleball percuma untuk orang awam, sebagai sebahagian daripada usaha menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan pengunjung,” katanya.
Tambah beliau, sebagai usaha untuk mengangkat usahawan kopi tempatan, pihaknya juga bakal melancarkan Signature Selangor Coffee Directory pada Ahad, yang menghimpunkan maklumat semua usahawan kopi di Selangor supaya pelanggan dan pelancong boleh mengetahui lokasi mereka.
“Kami cuba mengetengahkan permata yang terpendam dalam kalangan ramai usahawan kopi di negeri ini, misalnya Chong Kok Kopitiam di Klang sebagai salah satu produk pelancongan di Selangor,” katanya.
Sementara itu, seorang usahawan yang menyertai SELCOFF 2025, Muhammad Ezam Nor Hamidi, 25 berkata, industri kopi di negara ini kini semakin meriah, terutamanya selepas pandemik Covid-19 yang menyaksikan ramai golongan muda sepertinya mula berjinak-jinak dengan kopi.

Dia sendiri mula meminati kopi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mengambil keputusan untuk bekerja dalam industri sebagai junior barista, barista dan pengurus kafe untuk mengumpul pengalaman serta keberanian sebelum menubuhkan Ichi Coffee tahun lalu dengan sokongan keluarga.
Meskipun Ichi Coffee masih berskala kecil, anak muda ini menunjukkan aspirasi untuk berkembang dan tidak takut bersaing dalam ruang acara industri utama, yang juga memberi signal positif kepada pelanggan bahawa mereka serius dalam bidang kopi.
“Menerusi penyertaan dalam SELCOFF 2025 ini, kami beroleh peluang untuk memperkenalkan jenama Ichi Coffee ini kepada khalayak yang lebih luas, antaranya dengan memberikan sampel percuma supaya pelanggan dapat merasai sendiri kualiti dan identiti kopi kami.
“Saya berhasrat untuk memberi peluang kepada orang ramai meneroka pelbagai rasa dalam kopi. Ada rasa masam dan manis dalam biji kopi, tidak semestinya pahit sahaja,” katanya.