SBS Nexus peroleh kelulusan untuk penyenaraian di Pasaran ACE

9 hours ago 4

PETALING JAYA – Bursa Malaysia telah meluluskan cadangan tawaran awam permulaan (IPO) SBS Nexus dan cadangan penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

Menurut SBS Nexus dalam satu kenyataan hari ini, pihaknya menyasarkan untuk menyenaraikan keseluruhan modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 490 juta saham biasa di Pasaran ACE menjelang suku pertama tahun 2026.

IPO SBS Nexus melibatkan tawaran awam sebanyak 171.5 juta saham biasa yang terdiri daripada terbitan awam sebanyak 122.5 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan 49 juta saham sedia ada, yang secara kolektif mewakili 35 peratus daripada modal saham terbitan Kumpulan SBS Nexus yang diperbesarkan sebanyak 490 juta saham biasa.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SBS Nexus, Wong Chun Mun berkata, pihaknya berbesar hati kerana Bursa Malaysia telah memberikan kelulusan untuk pelaksanaan cadangan IPO dan penyenaraian setelah menilai permohonan dengan teliti.

Jelasnya, kelulusan itu membawa syarikat selangkah lebih dekat ke perjalanan IPO untuk menjadi entiti tersenarai awam di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

“Ia hadir pada masa yang sesuai kerana kami kini bersedia untuk memanfaatkan peluang pembangunan yang luas dalam industri penjenamaan dan pemasaran di Malaysia.

“Kami mempunyai sejarah yang mantap dan rekod prestasi yang terbukti, dengan 22 tahun pengalaman dalam industri penjenamaan dan pemasaran.

“Sebagai sebahagian daripada rancangan pengembangan perniagaan, kami berhasrat untuk mengembangkan pangkalan pelanggan dengan menawarkan perkhidmatan penjenamaan dan pemasaran kepada komuniti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berbahasa Melayu.

“Kami akan merekrut 18 pekerja baharu untuk menembusi komuniti PKS berbahasa Melayu dan menjalankan pelbagai aktiviti pemasaran untuk mempromosikan perkhidmatan kepada komuniti PKS berbahasa Melayu di bawah jenama baharu iaitu ‘MyUsahawanMedia’,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |